Blogger Backgrounds

Sunday, October 27, 2013

Susu Bantu Melembutkan Kulit Kaki Yang Kasar




Mempunyai kulit yang halus dan mulus pada bahagian atas tubuh sahaja tidak mencukupi bagi seorang perempuan bukan? Sudah semestinya anda mahukan kulit yang halus dan licin dari kepala hingga ke hujung kaki. 

Namun, masalah kulit kaki kasar dan tumit pecah menyebabkan sesetengah golongan wanita berasa malu untuk menyarungkan sandal yang bukan tertutup. Di sini, kami akan kongsikan satu tip untuk mendapatkan kulit kaki yang halus dan lembut hanya dengan menggunakan susu. 

Secara berkala, gosok kulit kaki untuk sesi pengelupasan. Anda boleh menggunakan batu apung atau skrub untuk menanggalkan sel-sel kulit mati. Selain itu, bersihkan bahagian dalam kuku supaya tidak ada kotoran yang akan melekat ketika kaki direndam. 

Kemudian, panaskan susu dengan api yang sederhana supaya ia cukup hangat untuk digunakan merendam kaki anda. Proses ini akan mengambil masa kira-kira 30 minit. Selepas selesai, bilas kaki dengan air suam dan gunakan pelembab kaki.

Terapi melembutkan kaki menggunakan susu ini bagus dilakukan sebelum tidur kerana ia akan meregenerasikan kulit sepanjang malam dan anda akan menyaksikan hasilnya pada keesokkan hari. Kaki anda akan kelihatan halus dan lebih lembut berbanding biasa.

Susu mampu membantu melembabkan kulit dan mengatasi tekstur kulit yang kasar. Jadi, rajin-rajinlah amalkan tip ini sekurang-kurangnya seminggu sekali. Sekadar tip tambahan, pakailah sandal lembut semasa di rumah dan di luar untuk menjaga kaki anda. Selamat mencuba!



Skrub Garam & Gula Buatan Sendiri Yang Baik Untuk Badan


Skrub garam dan gula merupakan salah satu rawatan yang paling mudah untuk dilakukan di rumah. Bukan sahaja melumurkan gula atau minyak ke seluruh badan anda menyenangkan, namun faktor pengelupasan juga akan menjadikan kulit lebih segar, bertenaga dan lembut seperti kulit bayi. 

Skrub mandian di pasaran kebanyakannya mahal namun jangan risau kerana anda juga boleh membuat skrub garam dan gula mandian anda sendiri. Hanya gunakan beberapa bahan semula jadi dan tidak perlu bahan kimia yang berbahaya untuk dapatkan kulit yang berseri dan halus. Berikut adalah beberapa cadangan untuk skrub mandian yang sangat mudah disediakan di rumah: 




Skrub mandian pisang + gula 

Apabila pisang berwarna keperangan, gunakannya untuk membuat skrub. Ini tidak memerlukan minyak dan hanya bergantung kepada kelebihan pisang dan gula kasar. 

• 1 pisang masak
• 3 sudu besar gula pasir
• ¼ sudu teh ekstrak vanila tulen atau minyak pati kegemaran anda (terpulang)

Gaulkan kesemua bahan sekali dengan menggunakan garfu sehingga menjadi ketulan kecil. Jangan terlebih kacau atau ia akan menjadi terlalu lumat dan nipis. Jika anda mahukan skrub pisang untuk muka anda, simpan beberapa pisang dan campurkan secara berasingan tanpa gula. Semasa mandi, sapukan campuran gula dan pisang tadi dan perlahan-lahan urut ke seluruh badan anda. Manakala, untuk muka anda, perlahan-lahan urut dengan menggunakan skrub pisang tanpa gula tadi dan seeloknya elakkan kawasan mata. Kemudian, bilas dengan air suam.

Skrub garam rosemary + lemon

Sekiranya anda tidak menggunakanherba untuk memasak, mencampurkan herba tersebut yang berbau harum dengan lemon dan garam adalah rawatan yang paling 'superb' untuk kulit.

• 1/2 cawan garam laut
• 1/4 cawan minyak zaitun dara
• 2 sudu kulit lemon
• 1 sudu kecil rosemary kering
Campurkan kesemua bahan bersama-sama dan letakkan dalam balang bertutup rapat. Senang, bukan?

Skrub mandian bergula

Skrub mandian ini juga sangat mudah untuk dibuat. Anda hanya perlukan bahan-bahan seperti berikut:

• Gula kasar
• Minyak zaitun
• 15-20 titis minyak kegemaran anda penting

Kuantiti gula kasar dan minyak zaitun boleh disukat mengikut kehendak anda. Campurkan kesemua bahan sehingga sebati dan siap! Anda boleh gunakan skrub gula buatan sendiri anda ini untuk membuang lapisan kulit yang mati dan melembapkan lagi kulit anda.

Tuesday, October 22, 2013

Tips Kecantikan Menggunakan Uncang Teh


Tidak perlu wang yang banyak untuk kelihatan cergas dan cantik lagi sebaliknya anda hanya memerlukan uncang teh. Di sini, kami kongsi 3 tip kecantikan yang sangat senang dilakukan oleh anda dengan hanya menggunakan uncang teh. 



Spa wap teh

Bawa kemewahan spa ke rumah anda dengan spa wap teh buatan sendiri. Hanya didihkan beberapa cawan air dan tuangkannya ke dalam satu mangkuk yang besar. Kemudian, letakkan satu atau dua uncang teh. Anda disyorkan untuk menggunakan teh hijau kerana lebih berkesan untuk antioksidan dan baunya yang memenenangkan. Selubungkan kepala anda dengan tuala dan dedahkan muka anda pada mangkuk tersebut selama 5 hingga 10 minit. Proses ini akan membuka liang roma anda secara semula jadi dan menganjalkannya. 

Surutkan mata bengkak

Bancung dua uncang teh, kemudian perah keluar sedikit air daripadanya dan biarkan sejuk selama beberapa saat. Selepas itu, anda perlu baring di atas permukaan yang rata dan letakkan uncang teh pada kedua-dua mata dan tekan secara perlahan-lahan. Biarkan uncang teh pada mata selama 15 hingga 20 minit. Hasilnya, mata anda akan kelihatan lebih bertenaga dan tidak bengkak! Ini kerana asid 'tannic' dalam teh membantu mengecut mana-mana bengkak atau keradangan di kawasan mata. 

Betulkan kuku yang patah

Satu uncang teh mampu menyelesaikan masalah kuku patah! Potong sebahagian kecil uncang teh anda dan keluarkan serbuk di dalamnyan. Kemudian, lekatkan potongan uncang teh yang kecil tadi pada kuku anda yang patah dan sapukan gam padanya. Proses ini biasanya mengambil masa antara 5 hingga 15 minit, jadi anda tidak perlu tergesa-gesa. Selepas kering, anda bolehlah gunakan pengilat atau pewarna kuku untuk mencantikkan kuku anda seperti biasa

Saturday, October 5, 2013

FAKTA TENTANG KHASIAT MEMAKAN TIMUN


Timun barangkali adalah antara tanaman yang paling banyak ditanam di seluruh dunia, mudah ditanam malah adalah antara sayuran yang sering diambil di kalangan rakyat Malaysia sebagai menu sampingan bersama Nasi Lemak serta ulaman dicicah dengan sambal belacan. 


Tetapi selain dijadikan sebagai makanan sampingan, tahukah anda bahawa timun merupakan makanan berkuasa dan sangat baik untuk kesihatan anda? Lupakan snek ringan dan cip kentang, mulai hari ini sila jadikan timun sebagai 'snek' utama anda. Berikut adalah 14 sebab mengapa anda perlu mengamalkan memakan timun! 

Timun menghidrat tubuh anda

Sekiranya anda terlalu sibuk untuk minum air secukupnya, anda boleh terus memakan timun yang sejuk ini kerana ia mengandungi 90 peratus air. Ianya dengan mudah dapat mengimbangi kandungan air yang kurang dari tubuh anda. 

Timun dapat melawan suhu panas 

Memakan timun dapat melegakan pedih hulu hati dan melegakan tubuh dek deman panas. Selain itu juga, sekiranya tubuh anda mengalami selaran matahari, anda boleh meletakkan timun yang dikisar lalu disejukkan ke tubuh anda kerana ia dapat melegakan kepedihan akibat panahan matahari itu. 

Timun dapat menyingkirkan toksin

Kandungan air yang terdapat dalam timun bertindak sebagai 'penyapu virtual', yang akan membersihkan kesemua sisa buangan yang terdapat dalam tubuh anda. Dengan amalan memakan timun yang kerap, timun sekaligus dapat melarutkan batu karang. 

Timun sebagai sumber vitamin harian

Timun mengandungi hamper kesemua jenis vitamin yang diperlukan oleh tubuh dalam sehari iaitu vitamin A, B dan C yang menggalakkan sistem imunisasi agar anda lebih bertenaga dan berseri-seri. Jadikan ia lebih jus minuman lebih 'berkuasa' dengan mencampur timun, lobak merah dan daun bayam. Ianya juga elok untuk kulit anda kerana ianya mengandungi 12 persen vitamin C yang mana cukup untuk keperluan kulit dalam sehari. 

Timun membekal mineral kepada kulit

Timun merupakan sayuran yang sangat tinggi dengan Potasium, Magnesium dan Silikon. Sebab itulah penggunaan timun sangat banyak digunakan oleh kebanyakan pusat Spa. 

Membantu dalam penghadaman dan penurunan berat badan

Disebabkan kandungan air yang sangat tinggi dan kalori yang rendah, timun merupakan sumber ideal kepada mereka yang sedang dalam program menurunkan berta badan. Jadikan timun sebagai menu harian anda seperti sup timun atau salad. Malah anda boleh gantikan amalan mengunyah cip kentang anda dengan menjadikan timun sebagai snek wajib anda mulai hari ini. Variasikan cara pengambilannya, agar anda tidak bosan asalkan ia masih dalam nilai kalori yang anda perlukan dalam sehari. Selain itu, mengunyah timun juga merupakan salah satu senaman yang baik untuk rahang anda. Malah, timun juga kaya dengan serat yang sangat baik untuk sistem penghadaman. Pengambilan timun dalam kehidupan seharian disifatkan membantu merawat sembelit kronik. 

Menyegarkan mata

Mata letih, lingkaran hitam bawah mata? Letak saja timun bawah mata mesti elok lepas tu. Petua kecantikan seperti ini acapkali kita dengar dan bunyi agak klise, tetapi ia memang benar-benar berfungsi membantu mengurangkan lingkaran hitam bawah mata dan keletihan mata kerana sifat anti radang yang terdapat pada timun. 

Timun dapat melawan kanser

Timun diketahui sebagai sayuran yang mengandungi secoisolariciresinol, lariciresinol dan pinoresinol. Ketiga-tiga sebatian semulajadi ini mempunyai kaitan yang kuat sebagai lignan yang mampu mengurangkan risiko beberapa jenis kanser seperti kanser ovari, kanser payudara dan kanser prostat. 

Boleh merawat diabetis, mengurangkan kolestrol dan mengawal tekanan darah

Jus timun mengandungi sejenis hormone yang diperlukan oleh sel pankreas untuk menghasilkan insulin yang kebaikan kepada pesakit diabetis. Para penyelidik telah menemui sejenis kompaun (sebatian) yang digelar 'sterol' pada timun yang mana dapat menurunkan paras kolestrol. Timun juga kaya dengan serat, potassium dan magnesium. Ketiga-tiga nutrisi ini sangat efektif untuk menstabilkan tekanan darah. Sebab itu, timun sangat mujarab baik untuk merawat tekanan darah tinggi mahupun tekanan darah rendah. 



Melembutkan rambut dan kuku

Keajaibab mineral silica yang terdapat pada timun dapat menjadikan rambut dan kuku anda lebih lembut, bersinar dan kuat. Kandungan Sulfur dan Silika yang ada pada timun pula membantu meransangkan pertumbuhan rambut. 

Bertindak sebagai penyegar mulut

Jus timun dapat merawat dan menyegarkan penyakit gusi. Ambil beberapa hirisan timun dan tekan ia pada bahagian lelangit mulut anda menggunakan lidah selama setengah minit, fitokimia pada timun boleh membunuh bakteria pada mulut yang menyebabkan nafas berbau. 

Bermanfaat pada kesihatan sendi, melegakan artritis dan gout

Memandangkan timun merupakan sumber silica yang paling hebat, ia dapat meransang kesihatan sendi dengan menguatkan tisu-tisu penghubung. Apabila ia dicampurkan dengan jus lobak, ia dapat melegakan kesakitan arthritis dan gout dengan merendahkan paras asid uric. 

Melegakan migrain dan mabuk

Untuk mengelakkan pening kepala di pagi hari, migraine atau ingin menghilangkan mabuk (yang disebabkan pengambilan alkohol), anda bolehlah memakan beberapa hirisan timun sebelum tidur. Timun kaya dengan vitamin B, gula dan elektrolit untuk menambahkan nutrisi dan mengurangkan sakit kepala mahupun mabuk. 

Memastikan buah pinggang berada dalam keadaan baik

Timun mampu merendahkan paras asid uric dalam tubuh anda sekaligus mampu memastikan buah pinggang anda sentiasa berada dalam keadaan baik, selagi anda terus mengamalkan pengambilan timun dalam kehidupan seharian.

Thursday, October 3, 2013

Tips Memilih Minyak Wangi Untuk Lelaki


Sejak kebelakangan ini ramai lelaki sudah mula sedar tentang peri pentingnya fesyen namun apa gunanya bergaya sekiranya badan bau hapak dan tidak menyenangkan. Untuk memastikan badan anda bebas dari pencemaran bau, bolehlah memilih minyak wangi yang terbaik yang mana aromanya mampu memikat hati.




Bagi lelaki minyak wangi itu merupakan simbol lelaki sejati. Jarang kaum adam ini menukar haruman mereka berbanding wanita yang pasti mempunyai pelbagai jenis wangian. Namun ada sesetengah minyak wangi yang tidak tahan lama dan tidak berkualiti. 

Di sini ada beberapa tips yang boleh lelaki-lelaki di luar sana praktiskan: 

Ketahui bau kegemaran anda

Jika anda ingin memilih minyak wangi, janganlah segan untuk bertanya kepada jurujual kerana pastinya mereka banyak pengalaman dan arif tentang jenis-jenis minyak wangi. Anda bolehlah meminta mereka mencadang jenis minyak wangi yang berkualiti dan jenis bau kegemaran anda. 

Elakkan dari menggunakan banyak minyak wangi

Apabila terlalu banyak minyak wangi digunakan, hidung anda pastinya akan tidak selesa dan tidak dapat menilai mana satu yang sesuai. Kalau boleh,hadkan dua atau tiga sahaja minyak wangi. Sekiranya banyak sangat pastinya bermacam bau muncul. 

Jangan terlalu gelojoh membeli minyak wangi

Sesetengah minyak wangi hanya akan mengeluarkan bau sebenar dengan lebih jelas setengah jam atau beberapa minit selepas digunakan. Jika anda mencuba minyak wangi dan sukakan baunya jangan terus membeli. Seeloknya buatlah 'survey' terlebih dahulu untuk mendapatkan keputusan yang terbaik. Lebih-lebih lagi jika anda bercadang untuk membeli minyak wangi yang mahal. 

Elak gosok pergelangan tangan

Ini kebiasanya apabila membeli minyak wangi anda pasti akan mengosok pergelangan tangan, cara ini tidak sepatutnya dilakukan kerana ia boleh menjejaskan bau minyak wangi yang sebenar dan sebaiknya tunggu sehingga ia kering sendiri. 

Jangka hayat minyak wangi

Mengikut kajian dikatakan minyak wangi hanya dapat bertahan selama tiga tahun. Kadangkala ada minyak wangi yang dijual oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang sudah melebihi tempoh tersebut. Berhati-hatilah memilih minyak wangi agar anda tidak tersalah beli minyak wangi yang sudah 'expired'. 

Memilih minyak wangi yang sempurna bagi tubuh anda merupakan proses eksperimen berbentuk peribadi. Ia memerlukan kesabaran namun selepas menemui yang bertepatan dengan selera, ia amat berbaloi. 

Selamat mencuba!