Bila kita memandang keluar, kita lihat keadaan sedang berjerebu dan jarak penglihatan kita juga sudah terhad/berkurang, terutama yang tinggal di sekitar Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Di sini saya ingin berkongsi maklumat mengenai FENOMENA INI....
Apakah Jerebu?
Jerebu yang kelihatan di latar langit bandar kita disebabkan oleh zarah terampai di dalam atmosfera. Pada kepekatan yang tinggi, zarahan ini terserak dan menyerap cahaya matahari menyebabkan ketampakan mengufuk mengurang menjadikan atmosfera kelihatan pendar baiduri. Jerebu tidak hanya terbatas di kawasan alam sekitar bandar tetapi dicerap juga di luar bandar.
Zarah Jerebu - Asal Kejadiannya
Zarah yang menyebabkan fenomena jerebu berasal daripada pelbagai sumber, antaranya ialah semulajadi dan antropogen. Sumber semula jadi termasuklah lautan, hutan dan permukaan bumi. Walau bagaimanapun kebanyakan zarahan adalah daripada aktiviti manusia seperti pembakaran secara terbuka, pembukaan tanah, pengunaan kenderaan bermotor dan pembakaran bahan api di dalam dandang industri.
Keadaan di Malaysia yang Membantu Pembentukan Jelebu
Di tropika, laju angin biasanya perlahan. Bagi tempoh tertentu terutamanya semasa Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera sangat stabil dan pergerakan udara mengufuk dan menegak berkurang. Dalam keadaan ini, pembentukan awan tidak aktif menyebabkan cuaca kering. Beberapa faktor seperti tempoh cuaca kering yang panjang, atmosfera yang stabil dan sumber pencemaran yang banyak di bandar atau luar bandar merupakan ramuan unggul pembentukan jerebu. Zarahan yang dibebaskan terperangkap di dalam atmosfera jisim udara bergenang dan meningkatkan kepekatannya. Di Semenanjung Malaysia, jerebu biasanya berlaku dari bulan Januari ke Februari dan Jun ke Ogos.
Sebaliknya, semasa Monsun Timur Laut, angin lengas timur laut yang umumnya bertiup kuat dari Laut China Selatan sering menurunkan kelengasannya di daratan sebagai hujan menyeluruh, oleh itu jerebu jarang kelihatan.
Apakah yang Menyebabkan Jerebu Hilang?
Atmosfera kita berubah-ubah, demikian juga halnya terdapat hari yang berjerebu dan hari cerah. Apakah yang berlaku ? Zarahan di atmosfera disingkirkan melalui beberapa proses. Zarah yang lebih berat mendap ke bumi melalui pengendapan graviti.
Proses basuhan hujan melibatkan pemeluwapan wap ke atas zarah kumin bagi membentuk titis air yang akhirnya menghasilkan awan. Zarahan juga disingkirkan melalui perlanggaran dan perlekatan dengan turunnya titis hujan melalui proses yang disebut cucian.
Golakan juga memainkan peranan membawa zarahan jerebu ke paras atmosfera tinggi untuk sebaran yang lebih berkesan. Dalam kes ini, hujan lebat / ribut petir yang menyeluruh dengan arus menaik dan menurun yang kuat boleh menyingkirkan jerebu dengan berkesan. Hujan renyai yang singkat biasanya tidak berkesan dalam menghilangkan jerebu teruk.
Jerebu, Kabus atau Kabut?
Jerebu sering disalah anggap dengan kabus atau kabut. Pada awal pagi atau selepas turunnya hujan apabila suhu rendah dan kelembapan tinggi, kabus dan kadangkala kabut terbentuk di kawasan lembah dan tanah rendah. Ianya akan hilang perlahan-lahan setelah matahari naik. Kabus dan kabut terbentuk hasil daripada pemeluwapan wap air ke atas zarah terampai di atmosfera. Dalam kajicuaca, kabus wujud jika ketampakan menjadi kurang (tanpa cuaca lain) dan kelembapan bandingan atmosfera di permukaan bumi melebihi 95%. Bila ketampakan mengufuk mengurang di bawah 1000 meter, fenomena dikelaskan sebagai kabut.
Adakah Jerebu Merbahaya?
Jerebu yang berasal daripada sumber semula jadi seperti garam laut dan debu tanah adalah tidak memudaratkan manusia. Jerebu nipis dan sementara yang wujud di kebanyakan bandar tidak memberi kesan serius pada kesihatan jangka panjang penduduk. Namun, episod jerebu yang teruk boleh membahayakan kesihatan. Kejadian terdahulu melaporkan peningkatan kejadian iritasi mata dan kerongkong serta kesukaran bernafas kepada mereka yang sensitif. Semasa episod jerebu, orang awam digesa supaya mengikut arahan / nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan.
Bagaimana Kita Boleh Kurangkan Kejadian Jerebu?
Pertama, hindari daripada membakar bahan buangan secara terbuka. Kebanyakan kejadian jerebu setempat disebabkan oleh aktiviti ini. Peningkatan kenderaan bermotor juga merupakan sumber utama zarahan jerebu di bandar. Untuk mengurangkan jerebu, kenderaan perlulah diselenggara dengan baik disamping memilih bahan api yang rendah bahan cemarnya. Pembukaan tanah secara meluas bukan sahaja menyebabkan hakisan dan penurunan gred tanah, malah merupakan juga sumber zarah terampai di atmosfera. Promosi ke arah penanaman semula pokok dan mengurangkan pembukaan tanah boleh mengurangkan jerebu. Perlu diingat bahawa setiap individu mempunyai peranan untuk mengekalkan kualiti alam sekitar sebagai warisan generasi akan datang.
Apakah kesan jerebu keatas kesihatan?
Antara kesan segera yang boleh berlaku keatas kesihatan manusia ialah:
1. gatal kerongkong dan batuk-batuk.
2. sukar bernafas atau sesak nafas.
3. mata pedih dan berair.
4. kulit terasa gatal-gatal.
5. terasa sakit dada.
Kesan yang nyata adalah kepada golongan yang mempunyai penyakit kronik yang berkaitan paru-paru, jantung, kulit dan mata.
Apakah cara-cara untuk mengelakkan dari terkena kesan hasil daripada kesan jerebu itu?
1. Gunakan penutup hidung (face mask) bila berada diluar rumah.
2. Bagi perokok pula elakkan merokok dikawasan tertutup untuk mengelakkan kesan keatas orang lain.
3. Jika tiada keperluan, tinggal didalam rumah sahaja.
4. Kurangkan aktiviti diluar rumah.
5. Sentiasa membasuh muka dan mandi jika perlu.
6. Banyakkan minum air bersih.
Keadaan semasa sepatutnya membuat kita lebih perihatin keatas kesihatan diri dan keluarga sendiri dimana kita perlu mengambil langkah-langkah pencegahan yang segera dan betul. Jika kita leka dan gagal mengambil langkah-langkah pencegahan itu kemungkinan ada diantara kita akan mengalami masalah kesihatan. Ingatlah beringat sebelum kena, mencegah lebih baik dari merawat.
Source: http://www.met.gov.my/
No comments:
Post a Comment