Blogger Backgrounds

Sunday, August 7, 2011

SEDEKAH JARIAH




Tiga Amalan Bawa Pahala Berkekalan

DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah ada bersabda, bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang salih yang berdoa untuknya. – (Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad. Mustika Hadis 3:312)

Dalam hadis ini tiga amalan yang dapat membantu seseorang pada hari akhirat kelak iaitu sedekah yang pahalanya berterusan, ilmu baik yang diajarkan dan juga doa anak yang salih.

Termasuk dalam kategori sedekah jariah ialah harta yang diwakafkan, termasuk tanah, rumah, kebun atau lain-lainnya untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Misalnya, seseorang mewakafkan bangunan untuk dijadikan sekolah, asrama, hospital, masjid dan seumpamanya.

Mendirikan bangunan untuk kepentingan awam yang dihalalkan Islam juga dikira sedekah jariah. Menubuhkan perpustakaan atau pusat sumber bagi meningkatkan ilmu dan iman orang Islam juga amal jariah yang sangat dituntut.

Ini bermakna, segala amalan kebajikan untuk kepentingan awam yang dihalalkan dikira sedekah jariah. Pahala berterusan akan diterima oleh orang yang melakukan amal itu.

Kedua, ilmu yang dapat dimanfaatkan - maksudnya ilmu yang diajarkan ketika seseorang itu masih hidup dan ia kemudiannya dimanfaatkan pula oleh orang lain, maka pahala mengajar itu berterusan selagi orang yang menerima ilmu itu mengamalkannya.

Ilmu yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ilmu agama dan juga ilmu mengenai dunia. Ilmu agama ialah al-Quran dan al-sunah serta segala cabangnya. Ilmu dunia ialah sains alam, dan pengurusan pentadbiran dan kenegaraan serta yang berkaitan dengannya.

Pahala diterima oleh mereka yang menyebarkan ilmu berkekalan hingga hari kiamat selagi manusia dapat manfaat daripada ilmu yang diajarkan itu. Ilmu yang disebarkannya itu, sama ada melalui syarahan, penulisan kitab, akhbar atau majalah atau apa-apa rakaman yang dapat dirujuk dalam bentuk cetak dan elektronik maka ia mendapat ganjaran berkekalan.

Ketiga, anak yang salih yang mendoakannya - maksudnya anak yang dididiknya ketika hayatnya hingga menjadi orang salih dan sentiasa mendoakan kesejahteraan bapanya sesudah meninggal dunia. Hadis ini memberi jaminan doa anak yang salih kepada orang tuanya diterima Allah.

Di dalam syurga, seseorang diangkat darjatnya oleh Allah lalu dia bertanya kepada Allah: “Ya Tuhanku, bagaimana saya mendapat darjat kebesaran ini?”.

Firman Allah bermaksud: “Ini disebabkan doa anakmu yang memohonkan keampunan bagimu.” – (Riwayat Imam Ahmad - Mustika Hadis).

Kesimpulannya, ketika masih hidup hendaklah kita sentiasa bersedekah dan membuat amal, khususnya pada perkara yang diberi ganjaran pahala berkekalan hingga ke hari akhirat.


Kisah Fatimah Mengenai Sedekah

Suatu hari Fatimah az-Zahra, sangat menginginkan buah delima. Ali bin Abi Thalib segera berangkat ke pasar mencari buah delima dimaksud.

Mengingat wang yang dimilikinya saat itu sangat terbatas, Ali hanya dapat membelikannya satu buah delima saja. Di tengah jalan, datang seorang sangat miskin yang menginginkan buah delima. Ali lalu memberikan setengahnya. Sampai di rumah, Ali menceritakan kepada Fatimah mengapa buah delima yang dibawanya tinggal setengah.

Selang beberapa lama, terdengar seseorang mengetuk pintu. Begitu dibuka, ternyata Salman al-Farisy berdiri di depan pintu membawa sembilan buah delima. Rasulullah saw mengutus Salman untuk memberikan sepuluh biji delima, hanya Salman menyembunyikan satu biji, sehingga yang dibawa hanya sembilan biji saja.

Salman lalu berkata: "Ini ada buah delima dari Rasulullah saw untuk Fatimah".

Ali lalu berkata: "Kalau ini benar dari Rasulullah saw jumlahnya pasti sepuluh biji bukan sembilan". Mendengar itu, Salman terkejut lalu berkata: "Bagaimana kamu tahu wahai Ali?". Ali menjawab:

"Karena saya ingat firman Allah yang berbunyi: "Barangsiapa membawa amal yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya".

Bukan hanya akan dilipatgandakan balasannya, orang yang rajin bersedekah juga akan dihindarkan dari segala macam bencana dan malapetaka.

Rasulullah saw bersabda: "Ubatilah orang-orang sakit kalian dengan sedekah"

(Hadis Riwayat Ahmad).


"TANGAN YANG MEMBERI LEBIH BAIK DARIPADA TANGAN YANG MENERIMA"

No comments: