Blogger Backgrounds

Friday, November 25, 2011

Sejarah Penggunaan Tahun Hijrah


Assalamualaikum ....Salam Ma'al Hijrah

Diam tak diam umat Islam akan menyambut tahun baru hijrah 1433. Ini bermakna telah 1443 tahun peristiwa tahun ini telah berlalu...tetapi pernahkah kita menyelusuri sejarah penciptaannya dan penggunaannya? 

Penggunaan tahun hijrah bermula selepas 7 tahun kewafatan Rasulullah saw iaitu pada tahun ke 17 Hijrah di zaman pemerintahan Sayyidina Umar bin al-Khattab. Sebelumnya mereka hanya menggunakan hari dan bulan sahaja tanpa tahun. Bulan yang telah diterimapakai sejak zaman Rasulullah SAW ialah Ramadhan, Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Safar, Rabi`ul Awwal, Rabi`ul Akhir, Jamadil Awwal, Jamadil Akhir, Rajab dan Sya`ban. Penentuan hari ialah dengan melihat bulan yang timbul di waktu malam.

Abu Nu`aym al-Asbahani meriwayatkan dua cerita tentang sejarah penggunaan tahun di zaman Umar. Satu riwayat menyebut, sampai pada Umar dokumen kewangan bertulis Sya`ban. Lalu timbul pertanyaan dalam diri Umar; ini Sya`ban bila? Yang baru ini ke? Atau yang sebelumnya lagi. Satu lagi riwayat menyebut bahawa ada di kalangan gabenor wilayah Islam di zaman Umar mengadu kepada Umar; setiap kali datang surat kamu pada kami, ia tidak mempunyai tahun. Kami tidak pasti bilakah ia dihantar kepada kami. Lantaran itu, Umar menjemput para Sahabat untuk membincangkan penentuan tahun.

Mereka bersetuju bahawa penentuan tahun perlu dibuat berdasarkan peristiwa besar yang berlaku. Persoalannya apakah peristiwa yang boleh dijadikan asas kalendar Islam? Beberapa cadangan diberikan, antaranya berasaskan kelahiran Nabi saw, berasaskan kenabian, berasaskan penghijrahan dan berasaskan kewafatan. Namun, Umar bersetuju dengan hijrah sebagai asas dengan alasan: “Hijrah itu membezakan antara kebenaran dan kebatilan”. Dengan itu, diisytiharkan hijrah sebagai asas pengiraan tahun bagi umat Islam. Tahun perbincangan itu berlaku ialah 17 tahun selepas berlakunya hijrah Rasulullah saw, bererti ia merupakan tahun 17H.

Seterusnya timbul pula persoalan; bulan manakah yang akan dimulakan tahun hijrah? Beberapa pandangan dilontarkan. Antaranya Ramadhan, Syawal dan Muharram. Umar memilih Muharram dengan alasan: “Muharram adalah bulan orang ramai bersurai”. Maksudnya, bersurai daripada mengerjakan ibadah haji. Ibadah haji dilakukan pada bulan Zulhijjah. Ia adalah perhimpunan besar-besaran umat Islam seluruh dunia. Tentu banyak pengalaman menarik sepanjang berhimpun yang boleh mencorak keperibadian muslim yang lebih baik. Kepulangan mereka ke kampung halaman masing-masing selalunya pada bulan Muharram. Mereka kembali pula dengan keperibadian baru selepas mendapat pengampunan dosa hasil ibadah haji. Justeru, sangat sesuai ia dijadikan sebagai bulan pertama kalendar Islam. Dengan itu, bermulalah penggunaan tahun hijrah dengan Muharram sebagai bulan pertama seterusnya Safar, Rabi`ul Awwal, Rabi`ul Akhir, Jamadil Awwal, Jamadil Akhir, Rajab dan Sya`ban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah sebagai bulan ke 12.



SEMOGA DENGAN KEHADIRAN 1433H INI AKAN MENAMBAH KETAQWAAN KITA KEPADANYA...
                 Salam Ma'al Hijrah

No comments: