Tahi lalat boleh membuatkan wajah seseorang tampak lebih manis, malah ia dapat menjadi ciri khas yang membolehkan kita mengenali atau mengingati seseorang. Misalnya, ikon antarabangsa Marilyn Monroe yang memiliki ciri khas tahi lalat pada pipinya.
Tahi lalat yang tidak membahayakan, tidak perlu dibuang. Namun lain halnya apabila tahi lalat menampakkan ciri-ciri yang luar biasa, seperti yang pernah dialami Yekti P, 38 tahun, seorang petugas syarikat swasta di Cikarang, Jawa Barat. Dia telah menjalani pembedahan kecil membuang tahi lalat yang terletak berhampiran hidungnya. Menurut Yekti, "Sebelum ini tahi lalat saya ini besar, hitam, dan terasa gatal. Kadang-kadang terasa sakit."
Setelah ke hospital, doktor yang ditemui oleh Yekti menyarankan supaya tahi lalat itu dibuang. "Semasa tahi lalat dibuang, saya tidak berasa sakit. Cuma semasa dibius di sekitar kulit, saya berasa sakit sedikit, "jelas Yekti yang kini kehilangan ciri khas pada wajahnya iaitu tahi lalat dekat hidung.
Apa sebenarnya tahi lalat dan benarkah ia berpotensi menjadi kanser? Pakar dermatologi dan kecantikan kulit, Dr. Edwin Juand menjelaskan yang tahi lalat terjadi kerana pigmen muncul pada satu titik. Tambah beliau, secara perubatan ada beberapa ciri yang menunjukkan bahawa tahi lalat itu berbahaya termasuklah saiznya yang besar, hitam, bahagian tepinya tidak rata, pigmentasinya juga tidak rata sehingga kadang kala berwarna coklat, putih dan hitam. Ciri lain ialah tahi lalat berubah atau cepat membesar dan berasa gatal.
"Jika keadaan itu berlaku, tahi lalat mesti dibuang," tegas Dr. Edwin yang kini berkhidmat di Jakarta Skin Centre Radio Dalam, Jakarta Selatan.
Pembuangan tahi lalat dilakukan mengikut hasil diagnosis iaitu sama ada ia sejenis kanser atau pun bukan. Tahi lalat boleh dibuang sebahagian sahaja atau keseluruhannya. Namun jika tahi lalat itu masih kecil, sebaik-baiknya ia dibuang terus. "Secara umumnya, pakar kulit dapat mengenal pasti yang mana tahi lalat berbahaya dan yang mana tidak. Ia dapat dilakukan dengan mata kasar atau pun menggunakan alat pembesar,” jelas beliau lagi.
Seterusnya, sampel kulit diambil dan diperiksa di bawah mikroskop. Keputusannya akan dapat diketahui dalam masa satu hingga dua hari. Jika keadaan mendesak seperti kanser payudara, pembedahan akan dilakukan di hospital.
Persoalannya, adakah semua tahi lalat akan menjadi kanser? "Setiap tahi lalat berpotensi menjadi kanser. Namun ini tidak bermaksud 90 peratus daripadanya akan menjadi kanser. Perhatikan ciri-ciri yang dinyatakan tadi. Adakah sebarang perubahan berlaku pada tahi lalat, seperti saiznya semakin membesar atau berasa gatal," jelasnya.
Menurut Dr. Edwin, kedudukan tahi lalat juga perlu diperhatikan. Jika tahi lalat berada di tapak kaki, ada kemungkinan ia akan menjadi berbahaya. Perkara ini boleh terjadi apabila geseran berterusan berlaku ketika berjalan.
"Jika ada tahi lalat walaupun kecil pada tapak kaki, buang saja," ujar Dr. Edwin. Menurut beliau lagi, tahi lalat pada wajah yang sering terdedah kepada sinar ultraungu juga perlu diberi perhatian. Seelok-eloknya, berjumpalah dengan doktor sekiranya mempunyai tahi lalat dengan ciri-ciri berkenaan. Namun jelas Dr. Edwin, kes tahi lalat berbahaya lebih banyak terdapat dalam kalangan masyarakat Barat kerana pigmen mereka kurang.
Sumber: Marmi Panti Hidayah | Yahoo Newsroom – Wed, Nov 28, 2012 1:30 PM MYT
No comments:
Post a Comment