Blogger Backgrounds
Showing posts with label Doa Untuk Amalan Kita. Show all posts
Showing posts with label Doa Untuk Amalan Kita. Show all posts

Saturday, March 3, 2012

DOA DIHARI LAHIR...3 MAC...





Mencari doa sempena hari lahir…membawa saya ke sini...setelah membaca baitnya cukup buat diri ini tersentuh dan keinsafan juga bertandang..mohon halalkan untuk perkongsian di blog saya…terima kasih.
Terima kasih Ya Allah untuk usia yang telah Engkau berikan. Terima kasih juga untuk setiap rezeki yang Engkau kurniakan. Terima kasih untuk setiap cubaan yang Engkau turunkan.Terima kasih untuk bakat dan ilham yang Engkau anugerahkan. Sesungguhnya terlalu banyak yang telah Engkau berikan kepadaku…dan terlalu sedikit pengabdianku terhadapMu.
Engkau tetap menerima walau terkadang aku alpa, aku lupa, aku tersilap dan khilaf menafsir makna setiap kurniaan dan dugaan. Namun begitu besar kasihMu…Engkau tetap melindungi aku walaupun terkadang aku kalut merungut ketika saat-saat lemahku datang.Aku tidak pernah menafikan hakMu sebagai Khaliq walaupun terkadang aku terbuai dengan kesedihan dan kesakitan yang amat pedih.
Ampunkan aku Ya Allah pabila aku merintih nasibku di hadapanMu. Kalau bukan kepadaMu, kepada siapa lagi harus ku mengadu? Aku tidak pernah menyesali kewujudanku ini Ya Allah…namun aku hanyalah hambaMu yg dhaif dan lemah. Adakalanya aku kurang kesabaran. Ada masanya aku goyah keimanan. Ada masanya aku hampir terikut bisikan syaitan. Namun dengan limpahan kasih sayangMu, Engkau menarikku kembali jauh daripada kesesatan.
Dalam usia begini…aku ingin menjadi lebih dekat padaMu Ya Rahman. Dalam usia yang makin jauh ini…aku ingin lebih merinduiMu Ya Rahiim. Dalam usia meniti senja ini…aku ingin sekali menyambut panggilan KaabahMu Ya Al Malik.Dalam usia ubanan ini yang ku inginkan hanyalah ketenangan, kekusyukan beribadah, segala kesederhanaan dan kerendahan hati tanpa berhenti menghulur kasih pada yang sudi.
Ya Muhaimin…pimpinlah tangan hambaMu ini…pimpinlah hati hambaMu ini…pimpinlah langkah hambaMu ini akan sentiasa berpijak di atas jalan kebenaran. Ya Al Quddus… sebagai hambaMu yang hina dina, aku takkan mungkin mencapai sempurna, tapi kasihanilah aku… bimbinglah aku sentiasa agar aku mampu meniti titian siratulmustakimMu dengan tenang dan mudah tanpa cela.
Ya Al Hakiim…berikanlah ilham kepadaku agar aku mampu terus berkarya Agar aku terus mampu memberikan sedikit ikhtibar dan dakwah dengan caraku. Hulurkan kepadaku bijaksana agar aku mampu terus memacu kalam keinsanan sehingga tiba masanya Engkau menjemputku pergi.
Terima kasih Ya Allah atas segala takdir yang telah Engkau tentukan untukku. Engkaulah Ya Maha Besar… peliharalah aku  ini agar terus berpegang teguh pada taliMu.
Terimalah permohonan hambaMu yang sedang bermusafir di bumiMu ini Ya Al Mudzill.
Amin Ya Rabbul Alamin.

Wednesday, May 25, 2011

Ayat Al-Quran, Doa Tangani Kerenah Anak

Doa Melembutkan Hati Anak / Suami / Isteri


Ayatnya berbunyi : Alla hu latifum bi'ibadihi, yar zuqumay..ya sha... wahuwal qa wi yul aziz.

Tafsirnya: “ِAllah maha lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang telah ditetapkan), dan Dialah yang maha kuat, lagi maha kuasa.”

Doa memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga bahagia dan baiti jannati. Sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan anak.

Semua kata-kata, keyakinan, doa, harapan dan impian ibu bapa adalah sebenarnya doa dan akan terkesan ke dalam jiwa anak. Doa mestilah disusuli dengan tindakan yang hikmah dalam cara kita membentuk peribadi anak.

Di sini, saya ingin berkongsi doa yang biasa amalkan dalam menangani kerenah anak sendiri dan anak jagaan di taska dan tadika. Ia adalah kumpulan doa yang banyak saya petik hasil daripada pembacaan selama ini, terutama daripada Nasiyah Abdul Razak, pengasas Rumah Qiraati Nurhidayah, Taman Melawati Selangor.

Untuk membantu anak mudah belajar dan menelaah pelajaran, baca zikir Ya-Latif sebanyak 129 kali diikuti ayat 19, surah as-Syura bermaksud: “Allah Maha Lembut kepada hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

Sebaiknya dibaca selepas Subuh iaitu dibaca pada pada air pada semua botol air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.

Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa ayat 200, surah Ali Imran bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”

Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir ‘Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya Latiff dan Ya Rahman’ berulang-ulang. Semua ini insya-Allah adalah doa pelembut hati.

Begitu juga, Surah Toha ayat 1-8, surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah dibaca dalam kegiatan lain seperti ketika menemani anak menelaah buku dan membaca al-Quran.

Bagi ibu yang bercita-cita mendapat zuriat yang baik, elok amalkan ayat 38, Surah Ali-Imran iaitu doa Nabi Zakaria bermaksud: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”

Kita juga digalakkan menyentuh dengan lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa dan menyatakan harapan. Petua membaca doa dan harapan ketika anak baru lelap kerap saya amalkan apabila anak ada masalah emosi atau tingkah laku.

Selepas solat lima waktu, saya mengamalkan doa daripada ayat 74, Surah al-Furqan bermaksud: “Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa.”

Ayat 40, Surah Ibrahim bermaksud: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang, dan zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku.”

Jadikanlah doa cara berkesan membentuk peribadi anak-anak. Doa itu senjata mukmin.




Sumber: Rosnah Ahmad, Pengusaha Tadika dan Taska Islam dan Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pahang. Persoalan dan jawapan layari www.wanitajimceria.blogspot.com