Blogger Backgrounds
Showing posts with label Keluarga Bahagia. Show all posts
Showing posts with label Keluarga Bahagia. Show all posts

Saturday, March 10, 2012

Sudah Lunturkah Kasih Sayang???



Ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dan dihormati dalam institusi keluarga. Mereka banyak berkorban dalam membesarkan dan memberi didikan kepada anak-anak. Mereka tidak pernah meminta atau mengharapkan balasan atau bayaran terhadap penat lelah, pengorbanan dan kasih sayang yang mereka berikan.
Dewasa ini ramai anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa mereka. Perkara ini amat serius terutamanya di negara Barat yang telah rosak dalam sistem sosial dan kekeluargaan. Anak-anak telah hilang rasa hormat, sering bercakap dengan nada tinggi dan kasar, bahkan ada yang berani memukul kerana tidak sependapat atau berselisih faham.
Yang lebih teruk, ada yang tidak segan silu menyaman ibu bapa mereka jika menyentuh hal peribadi mereka. Inilah kelemahan sistem manusia yang sering dikatakan untuk memenuhi hak asasi manusia tetapi tidak pernah mampu mendidik dan membentuk peribadi yang mulia.
Islam mengajar agar anak-anak menghormati ibu bapa dan menghargai pengorbanan mereka. Perintah ini banyak dimuatkan dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa perkara ini amat penting.
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu” (Luqman, 31: 14)
“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua- dua ibu bapa…” (al-Ahqaf, 46: 15)
Menghormati dan taat kepada ibu bapa akan mewujudkan suasana yang harmoni, damai dan tenang dalam keluarga. Hadith RasulAllah di bawah wajar diperhati sebagai peringatan kepada kita dalam menjaga adab dengan ibu bapa.
“Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Hadis riwayat Tabrani).
RasululAllah tidak mengiktiraf mereka yang tidak menghormati ibu bapa mereka termasuk dalam golongan muslim. Dalam hadis yang lain, perbuatan derhaka kepada kepada ibu bapa merupakan maksiat yang akan di balas dengan segera di dunia ini.
“Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sebagai contoh mudah, cerita lama si tanggang yang sombong dan mengina ibunya setelah menjadi nahkoda kapal, mendapat balasan dengan ditukar menjadi batu setelah ibunya merintih dan berdoa kepada Allah akan memberi pengajaran kepadanya.
Menderhaka kepada kedua ibu bapa merupakan dosa yang besar dan sangat dimurkai oleh Allah. Perkara ini diberikan contoh yang lebih mendalam dan lebih kecil sehingga kepada perkataan dan ucapan seharian.
Allah melarang anak-anak melawan ibu bapa mereka dengan nada yang kasar yang boleh menyentuh hati seperti perkaaan ‘ah’, ‘cis’, ‘uh’ dan sebagainya.
“Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.” (al-Isra’, 17: 23 )
Perkara ini mungkin nampak kecil, namun Allah tetap menekannya agar manusia mengambil peringatan dalam menjaga adab dan sebagai batas-batas dan aturan yang perlu diikuti demi keharmonian hidup.
Sebagai anak, wajar kita sentiasa bertutur dengan lemah lembut dan mengucapkan kata-kata yang baik dan menyenangkan hati mereka. Dan lebih-lebih lagi kita dituntut agar mendoakan kesejahteraan mereka.
“Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku pada waktu kecil” (al-Isra’, 17: 24)
Menghormati dan berbakti kepada ibu bapa merupakan suatu perkara yang sangat disukai oleh Allah dan termasuk dalam perbuatan yang menjadi keutamaan yang tinggi.
Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah? Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.
Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud:“Ada, iaitu berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Marilah kita bersama-sama menyemai kasih sayang dan mewujudkan keharmonian dalam keluarga sehingga diberkahi dan mendatangkan sakinah. Semoga keharmonian dalam keluarga akan menyemarakan lagi kesejahteraan dan kualiti hidup bermasyarakat.



Sunday, February 12, 2012

Tanggungjawab Suami-Isteri dan Hak Masing-masing Dalam Perkahwinan



Islam telah meletakkan landasan yang jelas terhadap sesebuah ikatan perkahwinan, iaitu pembinaannya mestilah di atas asas agama, bukannya nafsu semata-mata. Oleh itu, rumahtangga yang harmoni dan bahagia akan terbentuk melalui rasa tanggungjawab masing-masing dengan sempurna, kerana perkahwinan yang diikat melalui akad perkahwinan bertujuan membentuk peribadi dan mengajak pasangan tersebut supaya berkongsi pendapat, masa, cara hidup untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab masing-masing kearah keluarga yang bahagia.
   
Keluarga yang baik dan harmoni akan dapat melahirkan masyarakat yang baik juga, melalui proses pembentukan peribadi dan jiwa anak-anak, yang mana semua itu bermula daripada sebuah keluarga. Masyarakat dan negara tidak akan maju dan tidak sempurna jika ahli keluarga yang mendiami sesebuah negara itu pincang.
   
Justeru itulah, rumahtangga yang aman dan harmoni dapat dicapai melalui kerjasama dan tanggungjawab yang baik sesama mereka, seperti berkasih sayang, sabar, tolak ansur dan wujudnya persefahaman. Untuk mempastikan kerukunan sesebuah rumahtangga dan keluarga, Islam menggariskan peraturan tertentu yang merupakan tanggungjawab suami dan isteri, iaitu:



Tanggungjawab Suami


Suami adalah ketua keluarga.Antara tanggungjawab suami terhadap isteri dan keluarganya, ialah:


1.  Wajib memberikan nafkah kepada isterinya selagi ia memberi kesetiaan dan ketaatan.


2.  Membayar mas kahwin kepada isterinya


3.  Suami mestilah sentiasa melayan isteri dengan penuh layanan mesra dan kasih sayang.


Sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:
“Berwasiatlah kamu supaya berlaku baik terhadap isteri-isteri.Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah SWT dan kamu menghalalkan persetubuhan dengan mereka dengan kalimah Allah SWT”-(riwayat At-Tirmidzi)


Sabda Nabi yang lain:
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang baik budi pekertinya dan lemah lembut terhadap isterinya”-(riwayat Abu Daud)


Dalam keadaan lain,Al-Quran juga sentiasa menyarankan suami supaya berbuat baik dengan isteri mereka.Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:


“…dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu(merasa) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya); kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah SWT hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)- (Surah An-Nisa’ 4:19)


Sebagaiman hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib yang bermaksud:


“Rasulullah SAW bersabda: Lelaki yang paling baik ialah yang amat baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku. Tidak ada seseorang yang memuliakan wanita, kecuali dia seorang yang mulia. Tidak ada yang menghina wanita, kecuali oarang yang rendah pekertinya”-(riwayat Abu Daud)


4.   Suami mestilah memberi bimbingan dan tunjukajar yang baik terhadap isteri mereka dengan didikan agama dan pengajaran yang baik dan bukan menyeksa mereka. 


Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya:manusia dan batu (berhala)….-(Surah At-Tahrim 66:6)


5.  Memberi layanan yang baik,samada dari segi tingkah laku, perbuatan,tutur kata dan contoh teladan yang baik.


6.  Memenuhi nafkah zahir dan keperluan asasi, seperti pendidikan, pakaian, tempat tinggal dan makanan mengikut kadar kemampuan suami.


Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:


“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah SWT kepadanya (sekadar yang mampu); Allah SWT tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya.(Orang-orang yang dalamkesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah SWT akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.- (Surah AT-Thalak 65:7)


7.   Memenuhi keperluan nafkah batin


Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:


“Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka telah suci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan Allah kepadakamu. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi oarng-orang yang sentiasa menyucikan diri”-(Surah Al-Baqarah 2:222)


8.   Menjaga dan memberi perlindungan daripada sebarang ancaman dan bahaya.


9.   Berlaku adil terhadap semua isteri jika mereka mempunyai lebih dari seorang isteri.


Suami mestilah menunaikan tanggungjawabnya dengan memberi nafkah kepada isterinya bergantung kepada keadaan dan keperluannya.Oleh itu Islam tidak menentukan kadartertentu dan tidak ada penentuan yang khusus, ia bergantung kepada pendapatan sert keadaan taraf hidup, kemampuan suami serta menilai keadaan keperluan.


Biarpun nafkah adalah tanggungjawab suami, namun dalam sebuah rumahtangga yang sederhana dan suami yang berpendapatan kecil, tidak menjadi kesalahan untuk isteri bekerja dan membantu suaminya demi memantapkan kehidupan rumahtangga mereka. Selain itu juga, Islam menegah isteri menuntut nafkah serta keperluan yang tidak termampu oleh suaminya.


Seterusnya untuk menjamin keutuhan dan keluarga yang bahagia, masing-masing mestilah merelakan dan sanggup menerima hakikat keadaan rumahtangga masing-masing, terutamanya bagi suami yang tidak mempunyai pendapatan yang lebih atau tidak mampu berusaha lebih dan disebabkan taraf hidup yang tinggi, contohnya di kota dan hidup di bandar. Walaubagaimanapun, suami mestilah berusaha dan mencari rezeki yang halal dengan bersungguh-sungguh dan menunaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga.



Tanggungjawab Isteri dan Hak Suami

Dalam sesebuah rumahtangga, isteri juga mempunyai tanggungjawab tertentu yang wajib dipenuhi, antaranya ialah:

1.  Isteri mestilah sentiasa mentati suami mereka dan menjaga maruah suami mereka selama mana suaminya itu tidak menyuruh atau melakukan perkara yang bertentangan dengan agama.Dalam sebuah Hadis yang bermaksud, “Andainya aku ini orang yang menyuruh sesiapa supaya bersujud kepada orang,pasti aku menyuruh isteri itu bersujud kepada suami mereka”.

2.   Isteri mestilah memberikan hak suami yang ingin menyetubuhinya pada bila-bila masa sahaja selagi ia dibenarkan oleh syara’,contohnya ketika bersih daripada haid dan nifas.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu.Oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai, dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu;dan bertaqwalah kepada Allah SWT serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada Hari Akhirat kelak). Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang beriman”- (Surah Al-Baqarah 2:223)

3.   Menjaga maruah dirinya baik sewaktu di hadapan suami mahupun semasa ketiadaannya.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“…Maka perempuan-perempuan yang salih itu ialah yang taat (kepada Allah SWT dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah SWT dan pertolongan-Nya… -(Surah An-Nisa’ 4:34)

4.  Menjaga serta membelanjakan segala harta suami dengan jalan yang baik serta dengan keizinannya terlebih dahulu.

5.   Tidak boleh keluar rumah tanpa keizinan suaminya.

6.   Tidak boleh menceritakan dan mendedahkan kelemahan suaminya kepada orang lain.

7.   Mesti bertindak sebagai penghibur hati dan sentiasa melakukan perkara yang mendatangkan kesenangan hati suami mereka.

8.   Sentiasa memberikan layanan yang baik kepada suaminya.

9.   Sentiasa menghormati dan taat setia pada suami sebagai ketua keluarga.
Sebagaiman firman Allah SWT yang bermaksud:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah SWT telah melabihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka…” -(Surah An-Nisa’ 4:34)

P/S Buat adik sepupuku Nor Syafira Isma binti Ismail dan pasangannya Khairul Anuar Abd. Wahid yang baru melangsungkan majlis perkahwinannya pada 11.2.2011.  Selamat Pengantin Baru....dan jadikan tulisan ini sebagai panduan hidup berumahtangga...Insyallah...kita akan sentiasa diberkatiNya...