Blogger Backgrounds

Friday, October 21, 2011

12 barisan manusia di Padang Mahsyar







Assalamualaikum, pagi jumaat ni cuba untuk memuhasabah diri, dalam golongan mana agaknya saya nanti bila bangkit di padang masyhar...

Rasanya setiap detik dan setiap denyut nadi yang kita rasa, semakin hampir pula kita bertemu dengan PENCIPTA kita...dan kita tidak tahu rezeki kita di SANA...Saya tertarik untuk berkongsi maklumat yang saya perolehi daripada goggle search untuk kita sama-sama renungkan....

12 barisan manusia di Padang Mahsyar

PADA suatu hari, Muaz bin Jabal menghadap Rasulullah SAW dan bertanya: “Wahai Rasulullah,
tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah: "Ketika sangkakala ditiup, maka kamu sekalian
datang berbaris-baris.”
(Surah an-Naba', ayat 1).

Mendengar pertanyaan itu, Baginda menangis hingga basah pakaiannya. Lalu Baginda menjawab: “Wahai Muaz, engkau bertanyakan kepada aku perkara yang amat besar, bahawa umatku akan diiring, dikumpulkan berbaris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri."

Maka, dinyatakan apakah 12 barisan itu.


Barisan pertama, diiring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki.


Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih bermaksud: “Mereka itu ialah orang yang ketika hidupnya menyakiti hati jirannya, maka ini balasannya.”


Barisan kedua, diiring dari kubur berbentuk babi hutan.

Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: “Mereka itu ialah orang yang ketika hidupnya meringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembalinya adalah neraka.”


Barisan ketiga, diiring dari kubur berbentuk keldai, perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking.

Mereka ialah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.


Barisan keempat, diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari
mulut mereka.

Mereka ialah orang yang berdusta dalam jual beli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka.


Barisan kelima, diiring dari kubur dengan bau busuk. Ketika itu Allah menurunkan angin
sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.

Mereka itu ialah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui manusia, tetapi
tidak pula takut kepada Allah, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.


Barisan keenam, diiring dari kubur dengan kepala mereka terputus dari badan.

Mereka ialah orang yang menjadi saksi palsu. Inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka.


Barisan ketujuh, diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah, tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah.

Mereka ialah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.


Barisan kelapan, diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.

Mereka ialah orang yang berzina. Inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.


Barisan kesembilan, diiring dari kubur dengan wajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh.

Mereka ialah orang yang makan harta anak yatim dengan cara haram, maka inilah balasannya dan
tempat kembali mereka adalah neraka.


Barisan ke-10, diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh sopak dan kusta.

Mereka ialah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.


Barisan ke-11, diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta, gigi memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir melebar sampai ke dada dan lidah terjulur memanjang sampai ke perut serta keluar beraneka kotoran.

Mereka ialah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.


Barisan ke-12, mereka diiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat.

Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan:
“Mereka ialah orang yang beramal salih dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah
bertaubat.


Maka, inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah SYURGA, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredaan Allah Yang Maha Pengampun.

Rasanya dalam barisan manakan kita nanti agaknya..sama-samalah kita mengisafi dan memuhasabah diri...Semoga kita mendapat keampunan dan keredahaanNYA.

Wallahualam....

Tuesday, October 18, 2011

TEKNOLOGI HIJAU



Definisi

Teknologi Hijau merujuk pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semulajadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Teknologi Hijau merujuk produk, peralatan, atau sistem yang memenuhi kriteria-kriteria berikut:
* Ia meminimumkan degrasi kualiti persekitaran; ia mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar; ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan;
* Menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan
* Menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.

Empat Tunggak Dasar Teknologi Hijau Negara
• Tenaga - Mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga
• Alam sekitar - Memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar
• Ekonomi - Meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi; dan
• Sosial - Meningkatkan kualiti hidup untuk semua.

Objektif

• Untuk mengurangkan kadar peningkatan penggunaan tenaga dalam masa yang sama meningkatkan pembangunan ekonomi;
• Untuk membantu pertumbuhan dalam industri Teknologi Hijau dan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negara;
• Untuk meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan Teknologi Hijau dan meningkatkan daya saing dalam Teknologi Hijau di persana antarabangsa;
• Untuk memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang; dan
• Untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap Teknologi Hijau dan menggalakkan penggunaan meluas Teknologi Hijau.

Sektor Utama

Kemajuan yang signifikan dan peningkatan utama dalam empat sektor utama yang berikut:


i) Sektor Tenaga
• Sektor Bekalan Tenaga: Aplikasi Teknologi Hijau dalam penjanaan tenaga dan pengurusan bekalan tenaga, termasuk penjanaan bersama (co-generation) di sektor industri dan komersial; dan
• Sektor Penggunaan Tenaga Aplikasi Teknologi Hijau dalam semua sektor penggunaan tenaga dan dalam program pengurusan permintaan tenaga.


ii) Sektor Bangunan: Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pembinaan, pengurusan, pemuliharaan dan pemusnahan bangunan


iii) Sektor Air dan Pengurusan Sisa
• Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pengurusan dan penggunaan sumber air, rawatan kumbahan, sisa pepejal dan kawasan pelupusan sampah; dan


iv) Sektor Pengangkutan
• Memasukkan elemen Teknologi Hijau dalam prasarana pengangkutan dan kenderaan, khususnya biobahan api dan pengangkutan jalan awam.
Matlamat



i. Matlamat Jangka Pendek (Rancangan Malaysia ke-10)
• Kesedaran masyarakat yang lebih tinggi melalui program-program sokongan dan komitmen untuk penerimaan dan penerapan Teknologi Hijau;
• Ketersediaan dan pengiktirafan meluas Teknologi Hijau dari segi produk, aplikasi, peralatan dan sistem di pasaran tempatan melalui piawaian, perkadaran, pelabelan;
• Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investments, FDIs) dan Pelaburan Langsung Tempatan (Domestic Direct Investments, DDIs) yang lebih besar dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan Teknologi Hijau; dan
• Institusi-institusi penyelidikan tempatan dan institusi pengajian tinggi mengembangkan penyelidikan, pembangunan dan aktiviti inovasi mengenai Teknologi Hijau ke arah pengkomersialan menerusi mekanisme yang sesuai.

ii. Matlamat Jangka Sederhana (Rancangan Malaysia ke-11)
• Teknologi Hijau menjadi pilihan utama dalam memilih produk dan perkhidmatan;
• Teknologi Hijau mempunyai pasaran tempatan yang lebih besar berbanding dengan teknologi lain, dan menyumbang kepada penerimaan Teknologi Hijau dalam pasaran serantau;
• Peningkatan pengeluaran produk Teknologi Hijau tempatan;
• Peningkatan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi Teknologi Hijau oleh universiti tempatan dan institusi penyelidikan yang dikomersialkan melalui kerjasama dengan industri tempatan dan syarikat multinasional;
• Peningkatan perniagaan SME dan SMI tempatan dalam Teknologi Hijau ke pasaran global; dan
• Peningkatan aplikasi Teknologi Hijau dalam kebanyakan sektor ekonomi.


iii. Matlamat Jangka Panjang (Rancangan Malaysia Ke-12 dan Tempoh Seterusnya)
• Penerapan Teknologi Hijau dalam budaya Malaysia;
• Penggunaan meluas Teknologi Hijau mengurangkan penggunaan sumber secara keseluruhan, di samping mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara;
• Mengurangkan signifikan dalam penggunaan tenaga negara;
• Membaiki kedudukan Malaysia dalam peningkatan persekitaran;
• Malaysia menjadi pengeluar utama Teknologi Hijau dalam pasaran global; dan
• Peningkatan kerjasama peringkat antarabangsa dengan universiti tempatan dan institusi penyelidikan dengan industri Teknologi Hijau.

Risiko nanoteknologi boleh diluaskan kepada tiga bahagian:
• risiko kepada kesihatan dan persekitaran yang berpunca daripada zarah dan jirim nano
• risiko yang disebabkan oleh pengilangan atau penghasilan molekul (atau teknologi nano lain)
• risiko yang datangnya daripada masyarakat sendiri.

Teras Strategik

i) Teras Strategik 1

Mengukuhkan kerangka institusi


Dalam memupuk penerimaan dan pembangunan Teknologi Hijau, penyusunan institusi yang kukuh adalah kritikal untuk mempromosikan aplikasi Teknologi Hijau melalui:

Penubuhan Majlis Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri untuk menyelaraskan peringkat tinggi antara Kementerian, agensi, sektor swasta dan pihak berkepentingan utama untuk melaksanakan Teknologi Hijau yang efektif;
Penubuhan Jawatankuasa Kabinet Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri;
Penubuhan Agensi Teknologi Hijau Malaysia untuk menyelaraskan dan melaksanakan usaha dan program Teknologi Hijau yang efektif;
Pengenalan dan penguatkuasaan mekanisme perundangan untuk mempercepat pembangunan Teknologi Hijau, selaras dengan objektif dan matlamatnya; dan
Peyelarasan fungsi setiap institusi supaya semua agensi mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing.

ii) Teras Strategik 2


Menyediakan Persekitaran Pembangunan Teknologi Hijau yang Kondusif


Pembangunan industri Teknologi Hijau, sama ada dalam sektor pembuatan atau perkhidmatan, adalah kritikal bagi memenuhi objektif Dasar Teknologi Hijau. Industri ini menyediakan Teknologi Hijau bagi pasaran setempat dan global, menyediakan peluang pekerjaan, dan meningkatkan ekonomi Negara. Ini boleh dicapai melalui:

Pengenalan dan pelaksanaan instrumen ekonomi yang inovatif dengan disokong oleh langkah-langkah kewangan dan fiskal bagi menbantu peningkatan pertumbuhan Teknologi Hijau selaras dengan objektif dan matlamatnya;
Memperkukuh pemahaman masyarakat tempatan terhadap industri Teknologi Hijau dan rantaian nilai termasuk industri sokongan melalui pelbagai program peningkatan industri;
Mempromosikan pelaburan langsung asing (FDIs) terhadap Teknologi Hijau yang membantu perkembangan pelaburan langsung tempatan (DDIs) serta penglibatan dan pembangunan industri tempatan;
Menubuhkan hab Teknologi Hijau yeng straregik di seluruh Malaysia, yang dikembangkan daripada rantaian nilai utama kepada industri utama; dan
Menubuhkan mekanisme pembiayaan untuk Teknologi Hijau.

iii) Teras Strategik 3


Memperkukuh Pembangunan


Modal Insan dalam Teknologi Hijau


Sumber manusia yang mahir, berkelayakan, cekap dan produktif sangat penting untuk pembangunan Teknologi Hijau. Ini boleh dicapai melalui;


Reka bentuk dan pengukuhan program latihan dan pendidikan bagi meningkatkan kapasiti sumber manusia yang berkaitan dengan Teknologi Hijau;

Bantuan kewangan dan biasiswa untuk pelajar yang mengikuti jurusan Teknologi Hijau di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan pasca ijazah;
Program melatih semula dan skim pelapis untuk meningkatkan kemahiran sumber manusia yang separa terlatih bagi memenuhi keperluan industri Teknologi Hijau;
Penyediaan mekanisme penggredan dan pensijilan bagi pekerja yang cekap dalam bidang Teknologi Hijau; dan
Pengekploitasian program brain gain bagi mengukuhkan kepakaran tempatan dalam sektor Teknologi Hijau.


iv) Teras Strategik 4

Penggiatan Penyelidikan dan Inovasi Teknologi Hijau
Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi dan Pengkomersialan (RDIC) amat penting dalam penghasilan teknologi baru, teknik dan implikasi yang dapat mengurangkan kos Teknologi Hijau dan mempromosikan penggunaannya. Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (RDI) akan ditingkatkan melalui:

Dana kewangan atau bantuan untuk sektor awam dan swasta dalam RDIC;
Keperluan Teknologi Hijau pada masa hadapan;
Penubuhan badan penyelaras yang efektif untuk RDI dan pusat kecemerlangan atau institut penyelidikan yang baru untuk perkembangan Teknologi Hijau;
Perkongsian pintar antara kerajaan, industri, dan pusat penyelidikan;dan,
Penubuhan rangkaian yang kukuh dengan institusi penyelidikan tempatan dan serantau dan pusat kecemerlangan antarabangsa dalam RDI Teknologi Hijau.

v) Teras Strategik 5


Promosi dan Kesedaran Awam


Promosi yang efektif dan kesedaran awam merupakan dua faktor utama yang mempengaruhi kejayaan pembangunan Teknologi Hijau. Hal ini penting kerana perkara tersebut memerlukan perubahan pemikiran masyarakat melalui pelbagai pendekatan termasuklah:

Promosi berterusan yang efektif, pendidikan dan penyebaran maklumat melalui program yang komprehensif untuk meningkatkan kesedaran awam dalam Teknologi Hijau;
Penglibatan media, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan yang efektif untuk mempromosikan Teknologi Hijau;
Memupuk budaya menghayati Teknologi Hijau dalam kalangan pelajar pada setiap peringkat melalui pembangunan sistem sukatan pelajaran yang efektif;
Program demonstrasi secara efektif dalam implikasi Teknologi Hijau; dan
Menerima pakai Teknologi Hijau dalam semua kemudahan kerajaan dan entiti yang berhubung dengan kerajaan


Lima langkah strategik jayakan Dasar Teknologi Hijau Negara




BANGI: Datuk Seri Najib Razak hari ini menggariskan lima langkah strategik bagi menjayakan Dasar Teknologi Hijau Negara.

Perdana Menteri berkata, langkah pertama adalah mengukuhkan rangka kerja institusi terutama di kalangan Menteri manakala langkah kedua mensasarkan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi Pembangunan Teknologi Hijau.

Katanya, langkah ketiga pula akan menggiatkan lagi pembangunan modal insan menerusi pemberian latihan dan program pendidikan.

"Langkah keempat adalah akan menggalakkan penyelidikan dan inovasi Tekologi Hijau menerusi pengkomersialan.

"Langkah terakhir adalah memantapkan usaha mempromosi dan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap Teknologi Hijau," katanya berucap melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian


Temubual Galeri@1, RTM 1
Y. Bhg. Dato’ Dr Halim Bin Man
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air


1. Apakah maksud ‘teknologi hijau’?

Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semulajadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia. Teknologi Hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Oleh yang demikian, apa-apa teknologi yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau atau digunakan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang menghasilkan pelepasan Gas Rumah Hijau yang tinggi perlu dikurangkan melalui kesedaran pada peringkat permulaannya dan selanjutnya melalui penguatkuasaan. Aplikasi Teknologi Hijau juga adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan (sustainable development) di mana pembangunan yang dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita perolehi sekarang atau kualiti yang lebih baik dari sekarang.

2. Mengapakah teknologi hijau diberi penekanan dalam pentadbiran negara?

Pada 9 April lalu, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pembentukan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi menggantikan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Saya percaya penekanan terhadap “teknologi hijau” adalah pendekatan yang tepat dalam menangani masalah alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi. Ia juga selaras dengan agenda utama Kerajaan-Kerajaan di seluruh dunia pada masa kini yang memberi prioriti kepada isu-isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca dunia. Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini a better place to live in.

Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan menjamin kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minima.

Teknologi hijau juga mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk ’hijau’ yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharu atau renewable energy. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenalpasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk negara kita. Mengikut unjuran kami, menjelang tahun 2020, industri PV dapat menyumbang sebanyak 4 peratus pendapatan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Kerajaan akan menyediakan dasar yang sesuai untuk mempromosikan teknologi hijau. Pihak swasta, para profesional serta penyelidik harus bekerjasama untuk mencipta dan mengkomersilkan teknologi hijau.



3. Apakah kepentingan aplikasi teknologi dan amalan hijau dalam kehidupan kita sebagai orang awam?

Seperti yang telah saya katakan tadi, secara amnya, Teknologi Hijau merupakan satu teknologi yang mesra alam dan merupakan teknologi yang rendah karbon bagi mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan antara lainnya fenomena perubahan cuaca dunia. Antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai pada masa kini ialah cuaca yang melampau seperti keadaan cuaca panas yang sedang kita hadapi pada masa ini. Selain itu, kejadian bencana alam seperti ribut taufan, kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan, kenaikan paras dan suhu air laut, kepupusan spesis flora dan fauna dan sebagainya juga merupakan kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang prominen pada masa sekarang. Oleh yang demikian, mitigasi fenomena perubahan cuaca dunia telah menjadi antara prioriti dalam masyarakat dunia pada masa kini.

Proses perubahan cuaca global sememangnya tidak dapat dihalang. Walau bagaimanapun, usaha-usaha boleh dilakukan untuk melambatkan proses ini. Oleh yang demikian, aplikasi Teknologi Hijau merupakan salah satu langkah yang diambil bagi melambatkan proses perubahan cuaca dunia. Kita sebagai pengguna merupakan salah satu daripada penyumbang terbesar dalam pelepasan gas rumah hijau melalui aktiviti harian dan pilihan yang kita buat sebagai contohnya penggunaan kereta, tenaga elektrik, penggunaan bahan-bahan kimia seperti racun serangga dan sebagainya.

Sehubungan itu, aplikasi teknologi dan amalan hijau seperti penggunaan alat-alat elektrik cekap tenaga, penggunaan kenderaan awam atau bahan api alternatif, penjimatan penggunaan air merupakan antara perkara-perkara yang boleh dipertimbangkan dalam melaksanakan aktiviti harian kita. Walaupun amalan-amalan hijau bukan merupakan satu kebiasaan pada sebahagian daripada kita pada masa kini, kita perlu mengubah minda kita bagi memastikan kita masih akan dapat menikmati kehidupan yang kita nikmati pada hari ini dalam jangka masa panjang. Kita juga harus sedar bahawa pilihan-pilihan yang dibuat oleh kita pada hari ini akan menentukan masa depan yang akan dilalui oleh anak-anak kita di masa akan datang. Oleh yang demikian, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua agar mula mendekati amalan-amalan hijau yang kecil seperti mengitar semula sampah, menggunakan peralatan cekap tenaga, mengamalkan penjimatan tenaga dan air dan sebagainya.



4. Boleh Y.Bhg Dato’ berikan sedikit saranan dan harapan Datuk kepada masyarakat ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengutamakan teknologi hijau?

Usaha Kerajaan untuk menerapkan teknologi hijau perlu dilihat dari dua aspek. Pertama ialah aspek inovasi, iaitu usaha mencipta atau membangunkan teknologi hijau. Kita tidak semestinya mencipta sesuatu yang komplikated atau kompleks. Produk mudah yang mesra alam serta praktikal untuk negara kita boleh dihasilkan. Adalah penting supaya pelajar-pelajar digalakkan dari peringkat sekolah lagi untuk mencipta sesuatu. Pada peringkat yang lebih tinggi pula, para penyelidik kita boleh menghasilkan teknologi yang dapat menghasilkan sesuatu produk tanpa membazir sumber-sumber seperti tenaga dan air. Rekaan baru haruslah rekaan praktikal yang boleh dikomersilkan untuk penggunaan tempatan dan untuk tujuan eksport.

Keduanya ialah penggunaan atau aplikasi teknologi hijau sama ada dalam melaksanakan proses kerja atau amalan hidup seharian. Kita harus mengamalkan amalan hijau sebanyak yang boleh, bermula dengan perkara-perkara mudah yang boleh kita laksanakan. Contohnya, kita boleh membawa air minum dalam bekas tanpa keperluan membeli botol-botol air. Kalau kita membeli makanan untuk dibawa balik ke rumah, eloklah kita menggunakan bekas makanan sendiri daripada menggunakan bekas styrofoam atau plastik yang tidak mesra alam. Bawalah beg sendiri ketika membeli-belah.

Pengguna juga harus mengutamakan pembelian peralatan elektrik jenis cekap tenaga. Utamakan penggunaan lampu cekap tenaga. Tindakan sedemikian akan menghasilkan penjimatan tenaga. Walaupun harga peralatan cekap tenaga lebih mahal sedikit berbanding peralatan biasa, namun penjimatan tenaga adalah banyak dan kurang menjejaskan alam sekitar. Yang penting adalah supaya kita mulakan dengan langkah-langkah yang mudah dan murah dahulu. Jadikan amalan hijau budaya hidup. Ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka akan turut terdorong untuk mengamalkan budaya hijau.

Sebenarnya perubahan gaya hidup dan perubahan minda akan mengorak langkah ke arah penghayatan dan pengamalan teknologi hijau. Perubahan kecil yang kita buat pada hari ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.



5. Adakah sebarang galakan disediakan oleh Kerajaan untuk menggalakkan teknologi hijau?

Untuk bidang kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharu, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif fiskal sejak tahun 2003 bagi syarikat-syarikat yang menjana elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Diperbaharu atau Renewable Energy (RE) dan syarikat-syarikat mengamalkan aktiviti-aktiviti penjimatan tenaga Energy Efficiency (EE) dimana mereka layak diberi Pengecualian Cukai Pelaburan (Investment Tax Allowance) dan Status Perintis (Pioneer Status).

Syarikat-syarikat ini juga boleh memohon untuk mendapatkan pengecualian duti import dan cukai jualan untuk tempoh setahun bagi mesin, peralatan, material dan alat ganti import yang digunakan secara terus dalam penjanaan tenaga elektrik daripada sumber RE dan dan aktiviti EE. Insentif-insentif ini telah ditambah baik di bawah Bajet 2009 dimana pengecualian boleh diberikan bagi:


i- duti import dan cukai jualan untuk peralatan sistem solar untuk kegunaan pihak ketiga diberi kepada pengimport termasuk penyedia perkhidmatan photovoltaic yang diluluskan oleh ST;
ii- pengecualian cukai jualan untuk pembelian peralatan sistem pemanas solar daripada pengilang tempatan;
iii- Pengecualian duti import dan cukai jualan diberi ke atas peralatan EE seperti motor cekap tenaga (high efficiency motors) dan bahan penebat (insulation material) diberi kepada pengimport termasuk agen yang diluluskan oleh ST.
iv- Pengecualian cukai jualan diberi kepada pembelian EE consumer goods yang diluluskan oleh ST seperti bahan penebat, peti sejuk domestik, Ballast untuk lampu fluorescent, kipas domestic, lampu dan penyaman udara.

6. Boleh Y.Bhg Dato’ terangkan langkah-langkah yang diambil atau contoh-contoh program yang dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat?

Kementerian telah mula menjalankan program-program kesedaran mengenai Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharu yang merupakan salah satu daripada cabang Teknologi Hijau sejak tahun 2000 lagi melalui penubuhan Centre for Education, Training and Research in Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE) oleh Universiti Sains Malaysia. Program-program ini disasarkan kepada golongan profesional, sekolah, institusi pengajian tinggi dan orang awam di Malaysia. Antara program yang telah dilaksanakan oleh CETREE ialah Pameran program Kempen Penjimatan Tenaga & Alam Sekitar dan Kempen Cekap Tenaga di USM, Pertandingan Eureka, Kereta Solar dan Dapur Suria, Karnival Pendidikan Sains dan Teknologi Kebangsaan dan sebagainya. Selain daripada itu, CETREE juga telah membangunkan Modul Tenaga Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga Merentasi Kurikulum Sekolah Rendah di seluruh Malaysia bagi menimbulkan kesedaran murid sekolah di peringkat awal dalam Tenaga Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga.

Selain itu, Kementerian juga telah melaksanakan program Energy Month peringkat Kebangsaan secara tahunan bagi meningkatkan kesedaran mengenai Tenaga Boleh Diperbaharu dan mempromosikan amalan Kecekapan Tenaga di kalangan orang awam dan sektor swasta. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa program Energy Month adalah mengadakan ceramah-ceramah berkaitan Kecekapan Tenaga, menerbitkan buku panduan Kecekapan Tenaga Di Rumah, menerbitkan siri artikel di surat khabar dan menggunakan media massa untuk menggalakkan amalan Kecekapan Tenaga.

Di masa akan datang, Kementerian akan melaksanakan kempen Teknologi Hijau yang akan melibatkan stake-holders yang berkaitan termasuk orang awam dan Kementerian/ Jabatan Kerajaan, badan bukan Kerajaan dan lain-lain agensi yang berkaitan bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan semua pihak mengenai kepentingan Teknologi Hijau dalam kehidupan kita. Ini bagi memastikan program-program lain yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan dalam mempromosi dan membangunkan Teknologi Hijau tempatan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat.

Sumber: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Sunday, October 16, 2011

35 Petua Pelajar Cemerlang dari Dr Fadzilah Kamsah



Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:

1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
- kita ingat 10% apa yang dibaca
- kita ingat 20% apa yang didengar
- kita ingat 50% apa yang didengar & dilihat
- kita ingat 70% apa yang dicakapkan
- kita ingat 90% setelah dipraktikkan
3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).
- pastikan cahaya adalah terang
- kurangkan gangguan bunyi
- tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
- tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
- kerusi dan meja menghadap kiblat
- jangan lupa untuk senyum
5. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
6. Mengulang kaji menggunakan kaedah 'output learning' iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
7. Tahu teknik merangsang memori:
- memasukkan maklumat dalam memori (registration)
- menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
- mengingat kembali (recall)
- menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
8. Sentiasa awal dan mendahului:
- persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
- pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
- belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
- untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
9. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
10. Mempunyai teknik membaca yang betul:
- duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
- memberikan tumpuan sepanuhnya
- menggunakan jari telunjuk untuk membaca
- menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
11. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
12. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
13. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
14. Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
15. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). 16. Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
18. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
22. Tahu petua mengulang kaji:
- cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
- siapkan semua 'bekalan' dengan sempurna
- duduk tegak dikerusi yang selesa
- baca doa penerang hati
- baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
- fikir dan ingat kembali isi utama
- catat/lakar
- semak semula ketepatan maklumat
- ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
- buat rumusan
- jawab soalan
- tampal maklumat yang rumit di dinding
- baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
24. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
- jangan makan kepala ikan
- jangan makan organ dalaman
- jangan minum semasa makan
- jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
- jangan melihat kemaluan
- jangan melihat buih
- jangan membaca nama pada batu nisan
- banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
- banyakkan makan kismis, kurma dan madu
- banyakkan makan kekacang
- pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
- jangan makan sehingga terlalu kenyang
- jangan kencing berdiri
25. Tahu kemahiran mengingat:
- tampal nota-nota penting di dinding
- tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
- gunakan kaedah akronim
- reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
- pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
26. Cekap mengatur jadual belajar:
- mempunyai jadual belajar
- patuh kepada jadual
- buat jadual yang boleh diikuti
27. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
29. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
31. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
32. Pelbagaikan tempat belajar.
33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
- taat kepada Allah
- mendirikan sembahyang
- menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
- hormati & sayangi guru
- bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
- suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
- membantu rakan yang memerlukan
- berdoa dan bersyukur kepada Allah
- sentiasa bertawakal
- mahir dalam setiap mata pelajaran

Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat.

MULAKAN SEMUANYA DENGAN DOA....




Ertinya: Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmat-hikmat-Mu dan
limpahilah ke atas kami khazanah rahmat-Mu, wahai yang Maha
Pemurah lagi Maha Penyayang.


SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN ADIK-ADIK....DAN ANAKKU.....JADILAH PELAJAR CEMERLANG YANG AKAN MENJADI KEBANGAAN SEMUA....DUNIA DAN AKHIRAT




Sumber : pelbagai

Tuesday, October 11, 2011

Sejarah Haji




Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S. Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut haul yang mashur iaitu dengan turunnya ayat 97 surah Al-Imran yang bermaksud :

" Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekelian makhluk".

Pada tahun tersebut Rasulullah S.A.W. bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Hudaibiah.

Perjanjian itu membuka jalan bagi perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya ( Tahun ke-7 Hijrah ), Rasulullah telah mengerjakan Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam. Pada tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji dapat dikerjakan di mana Rasulullah S.A.W. mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji.

RASULLULLAH S.A.W MENUNAIKAN HAJI

Nabi kita Muhammad S.A.W telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan "Hijjatul Wada'/ Hijjatul Balagh/ Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat. Baginda telah berangkat ke Madinatul Munawwarah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabatnya seramai lebih 90,000 orang Islam.

Baginda telah menyempurnakan amalan-amalan sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali, 10 km daripada Madinah dan baginda sampai di Makkah pada 04 Zulhijjah setelah mengambil masa 9 hari dalam perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah dan bermalam di situ.

Kemudian ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat. Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah, Rasulullah S.A.W telah berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju balik ke Madinah Al-Munawwarah.

PERISTIWA SEMASA HIJJATUL WADA'

Di masa wukuf terdapat beberapa peristiwa penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah berlaku, di antara ialah seperti berikut :

Rasulullah S.A.W minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai bahawa hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa pada hari wukuf.

Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunganggannya lalu mati, Rasulullah S.A.W. menyuruh supaya mayat itu dikafankan dengan 2 kain ihram dan tidak membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan kafannya. Sabda Baginda pada ketika itu bahawa " Sahabat itu akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan berihram dan bertalbiah".

Rasulullah S.A.W. menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan " Apakah itu Haji ?". Sabdanya yang bermaksud " Haji itu berhenti di Arafah". Siapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah maka ia telah melaksanakan haji.

Turunnya ayat suci Al-Quranul Karim surah Al-Maidah yang bermaksud :
" Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kami"

Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti betapa Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.

sumber:Info haji dan Qurban

Thursday, October 6, 2011

HIKMAH MAKANAN

Saya terima email mengenai artikel ini...Mungkin dapat dikongsi bersama dan sebagai panduan saya pada bila-bila masa.


Roti (khubz)



Roti yang paling bagus ialah diperbuat daripada gandum yang baik dimasak dalam pembakar roti yang bulat. Roti itu dibiarkan sejuk sebelum dimakan, jika tidak kita akan merasa haus bila memakannya. Roti yang sudah lama dan tidak elok akan menyebukan perut. Roti yang terdapat sekam gandum mudah dicernakan. Nabi s.a.w. pernah bersabda "Jangan potong roti dengan pisau, hormatilah roti itu dengan memotong dengan tanganmu kerana Allah menghormati roti itu".


Jintan Manis (anisun)




Jintan manis banyak khasiatnya ianya melegakan kesakitan dalam badan, melancarkan aliran keluar haid, membanyakkan susu dan membuang gas dalam usus. Ianya juga boleh digunakan dalam bentuk serbuk dan disapu disekeliling mata bagi menguatkan pandangan mata.

Epal (tuffah)



Epal yang masam lebih sejuk daripada yang manis. Ianya juga boleh menguatkan organ hati.



Asparagus (hiyawn)




Asparagus berkhasiat bagi membuka sekatan pada buah pinggang dan memudahkan kelahiran anak.




Pisang (mawz)



Pisang boleh menyejukkan badan dan ianya boleh dimakan dengan madu lebah.




Barli (sya'ir)




Barli berkhasiat sebagai penyejuk badan. Rasulullah s.a.w. pernah memberi sup barli kepada orang yg mengidap demam.




Selasih (manis rayhan)



Selasih berkhasiat untuk menguatkan organ hati, memudahkan tidur dengan cara menyapu kepala dengan basil yang dicampurkan air.



Mentega (zubdah)



Mentega khasiatnya memanas dan melembapkan. Baik untuk menghilangkan sembelit. Mentega yang dicampurkan dengan kurma dan madu sejenis makanan yang menghilangkan rasa mengidam pada perempuan hamil.




Bunga kubis (qunnabit)




Sayuran ini sukar dihadam dan bahaya untuk penglihatan



Chamomile (babunaj)




Kegunaan chamomile ialah melancarkan aliran haid dan kencing. Ianya juga sangat berguna untuk memanaskan badan.



Lobak merah



Kegunaannya memanaskan badan. Ianya juga melancarkan aliran haid dan air kencing


Biji kopi (qahwah)




Sebagai ubat penyakit buang air besar berdarah, menghilangkan dahaga dan dikatakan menimbulkan kebijaksanaan.




Biji hitam (habb al sauda)




Dilaporkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda "Jadilah seperti biji habb al sauda kerana biji ini ubat semua penyakit kecuali kanser dan mati". Adalah dilaporkan juga bahawa Allah Taala menunjukkan bahawa "ia" itu ialah hab al sauda menghapuskan angin dalam usus dan demam. Baik untuk merawat 'leukoderma' dan membuka saluran urat yang halus. Berguna untuk menghilangkan penyakit selesema.




Ayam (dajaj)



Memudahkan penghadaman. membetulkan imbangan badan, baik untuk otak dan badan, serta mencantikkan rupa paras. Walau bagaimanapun jika dimakan terlalu banyak boleh menyebabkan penyakit sendi dan yang terbaik ialah daging ayam betina yang tidak bertelur.



Kulit kayu manis (darchini)



Kulit kayu manis juga merupakan pemanas badan. Minyaknya sebagai penawar untuk menghapuskan rasa tidak hadam. Ia merupakan campuran (rempah ratus) yang digunakan dalam resepi masakan hampir tiga suku penduduk dunia. Limau kulit tebal, warna kuning pucat, kurang mengandungi asid (utrujj) Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda, "Limau ini adalah seperti mukmin:bagus dirasa dan bagus dihidu". Limau ini menguatkan organ hati serta dapat menjauhkan kesedihan dan bintik-bintik pada kulit, menghapuskan kelaparan dan melambatkan pengaliran dalam hempedu.




Timun (qitta')




Yang masak menghilangkan panas dan menggalakkan pembuangan air kecil. Makan kurma dengan timun muda menambahkan berat badan.



Jintan putih (kammun)




Jintan putih khasiatnya untuk memanaskan badan. Jintan putih yang direndam di dalam air dan diminum adalah baik untuk mengubat perut yang memulas.





Tamar kering (tamr)





Nabi s.a.w. pernah bersabda, "Rumah yang tiada tamar atau kurma adalah rumah yg tiada bermakanan". Nabi s.a.w. sendiri pernah menanam kurma atau tamar. Kurma hendaklah dimakan dengan badam untuk menghapuskan parut yang tidak diingini.




Terung (badhijan)




Terung hitam menyebabkan keluarnya hempedu. Kecenderungan benda ini mengeluarkan hempedu dapat dibetulkan dengan memakannya bersama daging.



Telur (baydah)




Khasiat telur yang paling baik boleh kita dapati daripada telur ayam (setengah masak atau ?masak) bukan direbus keras. Putih telur melegakan apabila kita melecur atau kulit terbakar dan menghilangkan parut pada kulit.


"Endive" (hindiba)



Khasiat hindiba berubah mengikut musim. Hindiba' pada awal musim adalah yang paling baik dan yang dipenghujungnya sudah tidak berkhasiat lagi. Hadith menyatakan "makanlah hindiba dan janganlah bersendawa kerana sesungguhnya tidak ada satu hari pun titisan air syurga tidak jatuh ke atas hindiba".


Fenugreek (Hulbah)




Nabi s.a.w. pernah bersabda "jika umatku tahu apa yang ada pada hulbah, mereka pasti membeli dan membayarnya dengan emas". Antara khasiat hulbah membantu pengaliran haid dan berguna untuk menyembuhkan sakit perut(memulas).