Blogger Backgrounds

Friday, November 30, 2012

Kenal Pasti Tahi Lalat Yang Boleh Jadi Kanser



Tahi lalat boleh membuatkan wajah seseorang tampak lebih manis, malah ia dapat menjadi  ciri khas yang membolehkan kita mengenali atau mengingati seseorang. Misalnya, ikon antarabangsa Marilyn Monroe yang memiliki ciri khas tahi lalat pada pipinya.

Tahi lalat yang tidak membahayakan, tidak perlu dibuang. Namun lain halnya apabila tahi lalat menampakkan ciri-ciri yang luar biasa, seperti yang pernah dialami Yekti P, 38 tahun, seorang petugas syarikat swasta di Cikarang, Jawa Barat. Dia telah menjalani pembedahan kecil membuang tahi lalat yang terletak berhampiran hidungnya. Menurut Yekti, "Sebelum ini tahi lalat saya ini besar, hitam, dan terasa gatal. Kadang-kadang terasa sakit." 

Setelah ke hospital, doktor yang ditemui oleh Yekti menyarankan supaya tahi lalat itu dibuang. "Semasa tahi lalat dibuang, saya tidak berasa sakit. Cuma semasa dibius di sekitar kulit, saya berasa sakit sedikit, "jelas Yekti yang kini kehilangan ciri khas pada wajahnya iaitu tahi lalat dekat hidung.



Apa sebenarnya tahi lalat dan benarkah ia berpotensi menjadi kanser? Pakar dermatologi dan kecantikan kulit, Dr. Edwin Juand menjelaskan yang tahi lalat terjadi kerana pigmen muncul pada satu titik.  Tambah beliau, secara perubatan ada beberapa ciri yang menunjukkan bahawa tahi lalat itu berbahaya termasuklah saiznya yang besar, hitam, bahagian tepinya tidak rata, pigmentasinya juga tidak rata sehingga kadang kala berwarna coklat, putih dan hitam. Ciri lain ialah tahi lalat berubah atau cepat membesar dan berasa gatal.



"Jika keadaan itu berlaku, tahi lalat mesti dibuang," tegas Dr. Edwin yang kini berkhidmat di Jakarta Skin Centre Radio Dalam, Jakarta Selatan. 

Pembuangan tahi lalat dilakukan mengikut hasil diagnosis iaitu sama ada ia sejenis kanser atau pun bukan.  Tahi lalat boleh dibuang sebahagian sahaja atau keseluruhannya. Namun jika tahi lalat itu masih kecil, sebaik-baiknya ia dibuang terus. "Secara umumnya, pakar kulit dapat mengenal pasti yang mana tahi lalat berbahaya dan yang mana tidak.  Ia dapat dilakukan dengan mata kasar atau pun menggunakan alat pembesar,” jelas beliau lagi.

Seterusnya, sampel kulit diambil dan diperiksa di bawah mikroskop.  Keputusannya akan dapat diketahui dalam masa satu hingga dua hari. Jika keadaan mendesak seperti kanser payudara, pembedahan akan dilakukan di hospital. 

Persoalannya, adakah semua tahi lalat akan menjadi kanser?  "Setiap tahi lalat berpotensi menjadi kanser. Namun ini tidak bermaksud 90 peratus daripadanya akan menjadi kanser.  Perhatikan ciri-ciri yang dinyatakan tadi.  Adakah sebarang perubahan berlaku pada tahi lalat, seperti saiznya semakin membesar atau berasa gatal," jelasnya. 

Menurut Dr. Edwin, kedudukan tahi lalat juga perlu diperhatikan. Jika tahi lalat berada di tapak kaki, ada kemungkinan ia akan menjadi berbahaya. Perkara ini boleh terjadi apabila geseran berterusan berlaku ketika berjalan. 


"Jika ada tahi lalat walaupun kecil pada tapak kaki, buang saja," ujar Dr. Edwin.  Menurut beliau lagi, tahi lalat pada wajah yang sering terdedah kepada sinar ultraungu juga perlu diberi perhatian. Seelok-eloknya, berjumpalah dengan doktor sekiranya mempunyai tahi lalat dengan ciri-ciri berkenaan.  Namun jelas Dr. Edwin, kes tahi lalat berbahaya lebih banyak terdapat dalam kalangan masyarakat Barat kerana pigmen mereka kurang.

Sumber: Marmi Panti Hidayah | Yahoo Newsroom – Wed, Nov 28, 2012 1:30 PM MYT

Tuesday, November 20, 2012

Kiwi Mampu Mencegah Penyakit Nyanyuk?



Walaupun mungkin ramai yang tidak menggemari buah kiwi kerana rasanya yang agak masam, namun tahniah kepada mereka yang sememangnya menggemari buah kiwi. 

Buah Kiwi bukan sahaja sedap (bagi mereka yang menggemari) malahan mempunyai pelbagai khasiat tersembunyi khasnya kepada mereka yang menghidap penyakit Parkinson dan Alzheimer. 

Buah kiwi atau dalam bahasa saintifiknya ialah Actinidia Deliciosa merupakan buah yang kaya dengan vitamin dan dapat membantu mendapatkan tubuh yang sihat. 

Vitamin C 
Vitamin C merupakan agen anti oksida yang dapat melindungimu dari terdedah kepada ancaman radikal penyakit , seperti barah dan sakit jantung. Selain itu, khasiat yang terdapat di dalam buah kiwi ialah dapat mencegah daripada penya kit Parkinson dan Alzheimer. 

Mata sihat 
Bukan sahaja lobak merah yang bermanfaat untuk kesihatan mata. Buah kiwi juga dapat membantumu mendapatkan mata yang sihat kerana ia mengandungi Lutein dan Vitamin A. Lutein dapat membantu mata dalam penyerapan cahaya biru yang merosakkan mata, dan dapat mencegah degenerasi makula iaitu penyakit yang boleh menyebabkan kebutaan kepada golongan dewasa dan mereka yang berumur 55 tahun ke atas. 

Penghadaman protein 
Buah kiwi dapat membantu dalam penghadaman protein tubuhmu. Kamu perlu tahu bahawa penghadaman protein yang tidak baik boleh menyebabkan pengeluaran toksin dalam badan dan boleh menyebabkan masalah seperti pertambahan berat badan, masalah badan berbau, dan juga nafas berbau.


Saturday, November 17, 2012

Merebut Kelebihan Bulan Muharram





Salam Maal Hijrah 1434.... Tahun baru menjelma lagi nampaknya...memberi peluang kepada kita untuk terus menilai diri dan cuba menjadi yang lebih baik daripada sebelumnya. Lama dah rasanya tak update blog ni....kesibukan melanda dihujung tahun...Di sini saya ingin berkongsi mengenai kelebihan bulan Muharram, bulan pertama dalam kalender umat Islam.

ALLAH SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, 9: 36)
Nabi SAW bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan ALLAH, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.
Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.

Hikmah bulan haram

Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.
Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)
Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.

Amalan sunnah Muharam

Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.

‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”
Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.

” Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.

Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.
Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”

Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.
Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

http://ustazazhar.net