Blogger Backgrounds

Tuesday, February 14, 2012

Cara Untuk Bersyukur




Berbagai cara dan kaedah boleh digunakan untuk menunjukan rasa syukur dan berterima kasih samada kepada Allah swt mahupun sesama manusia. Pada asasnya ada tiga cara yang boleh digunakan untuk menunjukkan rasa syukur, dan gabungan ketiga-ketiga cara tadi adalah syukur yang paling sempurna.
Imam Ibnu Rajab berkata, “Syukur itu dengan hati, lisan dan anggota badan”.
1. Syukur dengan hati adalah mengakui nikmat tersebut dari Allah, berasal dari-Nya dan atas keutamaannya. Apabila hatinya bersyukur maka akan lahirkan bentuk syukur yang kedua dan yang ketiga iaitu syukur dengan lisan dan perbuatan.
2. Syukur dengan lisan iaitu selalu memuji Yang Memberi nikmat (Allah), menyebut nikmat itu, mengulang-ulangnya serta menampakkan nikmat tersebut;
Allah s.w.t. berfirman,
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Maksudnya “ dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-yebutNya (dengan bersyukur)”. (al-Dhuha:11)
3 Syukur dengan anggota badan iaitu tidak menggunakan nikmat tersebut, kecuali dalam rangka ketaatan kepada Allah s.w.t., berwaspada dari menggunakan nikmat untuk kemaksiatan kepada-Nya.
Ulamak dalam menghuraikan ayat;
اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْراً وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِي الشَّكُورُ
Kami katakan, wahai keluarga Daud bersukurlah kepada Allah swt atas nikmat yang diberikan kepada kamu iaitu dengan mentaati dan melaksanakan segala perintah Allah swt dan meninggalkan segala larangannya, kerana sedikit dari kalangan hambanya yang banyak bersyukur kepada Allah swt dan Nabi Daud a.s dan keluarganya adalah tergolong dalam golongan yang sedikit itu.
Hakikat Syukur
Kesyukuran yang hakiki didirikan di atas lima asas utama. siapa mengamalkannya serta menghayatinya maka dia adalah seorang yang benar-benar bersyukur iaitu;
1. Merendahkan diri terhadap yang disyukuri iaitu Allah swt, kerana orang yang bersyukur tidak akan sombong, tidak akan takabbur samada kepada Allah swt atau sesama manusia.
2. Rasa cinta terhadap Pemberi Nikmat iaitu Allah swt, kerana rasa bersyukur itu tidak akan timbul pada diri seseorang yang tidak suka, benci terhadap orang lain, lebih-lebih lagi kepada Allah swt.
3. Mengakui seluruh nikmat yang Dia berikan. Tanpa pengiktirafan terhadap jasa, kebaikan nikmat yang diberikan bagaimana rasa syukur akan timbul dalam diri seseorang apabila merasakan apa yang dimilki adalah dari dirinya sendiri, tanpa bantuan orang lain.
4. Senantiasa memuji-Nya atas nikmat yang diberikan kerana gembiranya, penghargaannya, pengiktirafannya terhadap nikmat yang diberikan.
5. Tidak menggunakan nikmat untuk sesuatu yang dibenci oleh Allah kerana ia akan mengundang kemarahan, kebencian orang yang memberi nikmat, dan tindakan tersebut menunjukkan sikap biadap, tidak mengharmati serta tidak mengenang jasa.
YA ALLAH Terima kasih atas rezeki dan nikmat yang telah ALLAH berikan kepada hambaMu ini....ALHAMDULILLAH


No comments: