Blogger Backgrounds

Thursday, April 26, 2012

Mencari Ketenangan Jiwa


Apabila usia Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam mencapai empat puluh tahun, baginda begitu gemar mengasingkan diri untuk beribadat dan berkhalwah di Gua Hira’. Selalunya amalan ini memakan masa beberapa hari dan malam, dan kadang-kadang melewati satu bulan. Beginilah keadaan Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam yang berulang alik di antara rumah baginda dan Gua Hira’ sehinggalah datangnya wahyu yang pertama.
Sesungguhnya kegemaran Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam mengasingkan diri dan beruzlah di Gua Hira’ sebelum pengutusan baginda sebagai seorang Rasul, mengandungi makna yang sangat mendalam dan memberi kesan yang begitu penting kepada seluruh penghidupan umat Islam dan agama Islam khususnya.
Amalan ini membuktikan bahawa setiap Muslim itu, tidak akan sempurna sifat keIslamannya, walaupun ia berkeperibadian atau berakhlak yang tinggi serta beribadat tanpa putus-putus melainkan ia cuba mengasingkan dirinya untuk menilai dan mencari ketenangan jiwa dan segala sesuatu yang membolehkannya sampai kepada hakikat keagungan ilahi.
Semuanya ini merupakan jalan bagi setiap Muslim yang mahu menempatkan dirinya sebagai seorang Muslim sejati terutamanya kepada mereka yang mahu menjadi pendakwah ke jalan Allah dan pembimbing ke jalan yang benar.
Sebagai hikmah Ilahi di sini tergambar sesungguhnya diri manusia itu senantiasa diselaputi oleh pelbagai penyakit yang tidak akan dapat diubati kecuali dengan jalan mengasingkan diri, memperhitungkan dan menghisab diri sendiri pada ketika dan di tempat-tempat yang sunyi, jauh dari suasana dunia yang sombong, bongkak, hasad-dengki, bermegah-megah dan sukakan keduniaan.
Segalanya ini merupakan penyakit-penyakit yang mencengkam jiwa manusia dan menguasai hati sanubarinya, yang memainkan peranan yang sangat kotor demi merubah jiwa batin manusia, walaupun dia melakukan amalan saleh dan ibadat yang banyak.
Inilah penyakit dan wabak yang  mencengkam manusia tadi dan ia tidak mudah dibasmikan kecuali dengan beruzlah dan mengasingkan diri dengan bertaqarrub dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dari masa ke masa untuk mendapat taufiq hidayah dan inayah Allah. Kemudian mengalihkan pandangan ke arah dirinya untuk mencari titik-titik kelemahannya di hadapan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala pencipta alam sejagat seterusnya bertafakkur dan merenung  bukti-bukti kekuasaan Ilahi, Hari Akhirat dan akhirnya menginsafi tentang kewujudan hari Akhirat, rahmat dan balasannya. Ketika kita bertafakkur dan merenung berulang-ulang kali maka penyakit-penyakit tadi akan sembuh dan hilang sedikit demi sedikit dan tempatnya akan digantikan dengan cahaya dan ketenangan yang sebenar. Dengan itu tidak ada sesuatu apa pun lagi yang akan mempengaruhi kehidupan manusia itu.
Suatu perkara lagi yang perlu disebut yang tidak kurang pentingnya di dalam penghidupan manusia umumnya dan para pendakwah khususnya ialah menanamkan bibit-bibit cintakan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala di dalam hati sanubari di mana ia merupakan sumber dan dorongan kepada pengorbanan, perjuangan dan asas utama kepada dakwah yang memarak. Perasaan cintakan Allah Azzawajalla tidak tercetus melalui kepercayaan kepada yang rasional lantaran perkara yang rasional itu belum lagi dapat memberikan kesan kepada hati dan perasaan. Sebab jika sedemikian, sudah tentulah para orientalis merupakan barisan yang pertama beriman kepada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dan RasulNya. Jarang kedengaran seorang bijak pandai mengorbankan jiwanya kerana beriman dengan sesuatu teori-teori matematik yang dicipta manusia atau teori-teori algebra.
Jalan utama untuk melahirkan kecintaan kepada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala ialah dengan cara merenung dan bertafakkur akan segala nikmat pemberiannya, merenung keagunganNya dan kebesaranNya. Kemudian memperbanyakkan bacaan-bacaan zikir dengan perantaraan hati dan lidah. Sesungguhnya kesemuanya ini tidak dapat dilaksanakan melainkan apabila seseorang Muslim itu melaksanakan apa yang disebutkan tadi dengan sempurnanya. Dengan melaksanakan amalan yang disebutkan, Allah akan memutikkan bibit-bibit kecintaan yang memancar terhadap Allah; yang menjadikannya memandang kecil segalanya; tidak menghiraukan sebarang godaan; tidak memperdulikan sebarang azab sengsara yang mungkin dihadapinya malah ia mampu mengatasi segala-galanya ini dengan mudah dan senang. Inilah senjata yang paling tajam untuk mereka yang akan melaksanakan tugas dakwah dan demikianlah senjata yang telah diperlengkapkan di dalam jiwa Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam untuk baginda melaksanakan dakwahnya.
Bahawa sesungguhnya segala perasaan yang berhimpun di dalam hati manusia, iaitu takut, berani, cinta, suka, duka dan sebagainya berupaya menjadi sebagai pendorong bagi seseorang untuk menjalankan tugas yang mungkin tidak dapat dilaksanakan sekiranya hanya disertai dorongan fikiran biasa manusia. Memang tepat seperti yang ditegaskan oleh Imam al-Sathibi rahmatullah ‘alaihi di dalam kitabnya Al-Mumabikhat yang menerangkan lebih lanjut dan membuat perbandingan di antara dua golongan; satunya Muslimin awam yang  melakukan segala taklif suruhan Tuhannya kerana keIslamannya dan golongan Muslimin yang tertentu yang melaksanakan taklif suruhan Tuhannya kerana satu dorongan tambahan dan disertai dengan kefahaman.
Katanya; golongan yang pertama ini melaksanakan tugasnya kerana keIslaman dan keimanannya tanpa lebih daripada itu, tetapi golongan yang kedua, melaksanakan segala tanggungjawabnya dengan satu dorongan tambahan, iaitu dengan disertai dorongan takut, harap dan cinta. Orang yang ketakutan, ketika melakukan sesuatu yang berat dan susah, tidak menghiraukan kesusahan dan kepayahan dan seterusnya membawa ia bersabar terhadap sebarang dugaan dan pancaroba. Manakala manusia yang mempunyai sifat raja’ (berharap) tidak akan menghiraukan susah payah. Harapannya itu akan membawa ia meneroka segala kepahitan dan menanggung segala keperitan. Seorang yang dilanda cinta pula, melipat gandakan segala usaha dan tenaganya dan mengorbankan segala apa yang ada  demi untuk sampai kepada individu yang dicintainya

Rujukan: Fiqh as-Seerah  Jilid 1, Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti

No comments: